Kuala Lumpur: Fraser & Neave Holding (F&N) menjangkakan potensi perolehan pada tahun kewangan akan datang terus meningkat melebihi RM3.819 bilion sebagaimana yang dicatatkan pada tahun kewangan berakhir September 2014 berikutan perkembangan permintaan produk dalam protfolio minuman gaya hidup.

Malaysia menjadi pasaran terpenting F&N berikutan hampir 80 peratus keuntungan kumpulan disumbangkan dari negara ini berbanding Thailand dan Singapura.

Pengarah Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas F&N, Datuk Ng Jui Sia berkata, Malaysia juga menjadi pasaran penting bagi F&N menerokai pasaran negara Islam berikutan ia adalah hab halal syarikatnya.

Beliau berkata, pada tahun kewangan akan datang, F&N akan menerokai pasaran Vietnam dan Myanmar bagi meluaskan penguasaan pasaran yang kini ia menduduki tempat kedua dalam segmen makan dan minuman di ASEAN.

“Syarikat tidak meletakkan jangka masa untuk menduduki tangga pertama dalam segmen itu di Asean tetapi menjangkakan menjelang 2020 kami hampir ke arah itu sekiranya terdapat hubungan perniagaan dengan syarikat berpotensi.

“Minuman bertenaga yang termasuk dalam portfolio minuman gaya hidup iaitu 100 Plus masih menjadi produk utama kami yang mendapat permintaan tinggi pasaran,” katanya pada taklimat keputusan prestasi kewangan F&N yang berakhir 30 September 2014, baru-baru ini.

Dalam keputusan itu, F&N mencatatkan peningkatan keuntungan 8.9 peratus kepada RM3.82 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya berikutan sumbangan besar semua unit perniagaannya terutama Dairies Thailand yang mencatatkan pertumbuhan dua angka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:03 AM