Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) menyasarkan untuk membuka lima lagi cawangan pada tahun depan di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Adenan Md Yusof berkata, pembukaan cawangan bertujuan menambah baik kualiti perkhidmatan sekali gus sebagai bukti keprihatinan pihaknya kepada masyarakat.

“Mengikut perancangan, AmanahRaya yang akan menjangkau usia 100 tahun penubuhan sejak beroperasi pada tahun 1921 bakal memiliki 25 cawangan tahun depan di seluruh negara.

“Pembukaan cawangan ini perlu berikutan penambahan kes dan mendapat permintaan tinggi pelanggan disamping kesedaran mereka terhadap pentadbiran pusaka, wasiat dan pengurusan amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan AmanahRaya Cawangan Batu Pahat yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan di sini.

Adenan berkata, cawangan Batu Pahat di sini adalah yang ke-19 dan Sibu di Sarawak menjadi cawangan seterusnya yang bakal dibuka tidak lama lagi.

Katanya, Batu Pahat juga adalah cawangan ketiga di negeri ini selepas Johor Bahru dan Muar selain pihaknya merancang melebarkan sayap ke Kluang dan Segamat selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 12:00 PM