Bank Rakyat
Bank Rakyat
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Rakyat melancarkan aplikasi perbankan mudah alih iRakyat bagi memperluas ekosistem perbankan digital kepada pelanggan.

Aplikasi baharu ini memberi keselesaan kepada pelanggan untuk mengakses akaun Bank Rakyat mereka dengan lebih pantas dan selamat melalui peranti mudah alih masing-masing.

Selain memperluas ekosistem perbankan digital sedia ada, aplikasi perbankan mudah alih iRakyat juga mengikuti gaya hidup digital semasa dalam persekitaran pasca-Covid-19 yang mana kebanyakan transaksi perbankan dilakukan secara dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, pelancaran aplikasi ini melambangkan komitmen Bank Rakyat dalam mencapai aspirasi digitalisasi bank untuk menawarkan sistem perbankan Islam berintegrasi yang lebih cekap dan berkesan dengan berpacukan teknologi terkini.

"Aplikasi iRakyat ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan dalam menggalakkan perbelanjaan digital atau transaksi tanpa tunai (cashless).

"Pelancaran aplikasi ini bakal meluaskan kebolehniagaan Bank Rakyat pada masa akan datang, khususnya dalam menawarkan lebih banyak perkhidmatan baharu dalam ekosistem pembayaran digital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aplikasi perbankan mudah alih iRakyat kini boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play bagi urusan perbankan harian.

Peningkatan terhadap penggunaan kemudahan e-bayaran dalam kalangan masyarakat juga menjadi salah satu faktor pendorong Bank Rakyat untuk merealisasikan inisiatif ini.

Melalui aplikasi perbankan mudah alih iRakyat, pelanggan dapat menyemak maklumat akaun seperti jumlah baki dan penyata akaun bagi Akaun Simpanan-i dan Semasa-i Elektronik, Akaun Deposit-i Berjangka, Kad Kredit-i, Pembiayaan-i serta Pajak Gadai-i pada setiap masa.

Pelanggan juga boleh melakukan pindahan dana serta pembayaran bil melalui aplikasi ini yang turut menyokong urusan Lembaga Tabung Haji (TH) serta kemudahan DuitNow.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar berkata, iRakyat melengkapkan ekosistem perkhidmatan digital Bank Rakyat, yang secara tidak langsung turut menawarkan pelanggan serta anggota pengalaman yang hebat selaras dengan Misi Bank 'Memacu Kemakmuran Ekonomi Anggota, Pelanggan dan Negara Bangsa'.

"Pengenalan semua perkhidmatan digital ini amat bersesuaian dengan kehendak situasi masa kini serta penerapan norma baharu apabila segala-galanya di hujung jari pelanggan.

"Seiring dengan era digitalisasi, Bank Rakyat sentiasa progresif dalam memanfaatkan teknologi bagi memastikan kita terus kekal relevan serta lestari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 4:51 PM