HONDA Malaysia yakin capai sasaran jualan 109,000 unit kenderaan untuk 2018.
HONDA Malaysia yakin capai sasaran jualan 109,000 unit kenderaan untuk 2018.

Kuala Lumpur: Honda Malaysia yakin akan mencapai sasaran jualan 109,000 unit kenderaan untuk 2018 berikutan prestasi jualan memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini.

Honda Malaysia dalam kenyataan berkata, pihaknya mencatat jualan 51,354 unit bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

“Honda Malaysia menerima jumlah tempahan sebanyak 20,000 unit pada Jun lalu iaitu angka tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah.

“Model Honda City menerima tempahan tertinggi merangkumi 36 peratus, diikuti CR-V dan Civic, masing-masing 14 peratus,” katanya.

Katanya, prestasi jualan memberangsangkan itu juga berikutan pelaksanaan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta beberapa promosi.

“Berdasarkan rekod jualan ini, Honda Malaysia menyumbang 17.7 peratus kepada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sehingga 30 Jun lalu.

“Ia juga mengekalkan kedudukan Honda Malaysia sebagai pendahulu segmen bukan nasional dan kedua dalam kedudukan keseluruhan TIV pada tempoh separuh pertama 2018,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 11:43 AM