Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama. FOTO Rosdan Wahid
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama. FOTO Rosdan Wahid
Mohd Zaky Zainuddin


HONDA Malaysia mencatatkan jualan 102,282 unit tahun lalu dengan model City merekodkan sumbangan terbesar diikuti Civic dan CR-V.

Model City mewakili 32 peratus daripada keseluruhan jualan Honda Malaysia, manakala Civic dan CR-V masing-masing menyumbang 16 peratus dan 13 peratus.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toichi Ishiyama berkata, meskipun terdapat penurunan 6.6 peratus jualan tahun lalu, Honda Malaysia bagaimanapun masih mengekalkan jumlah jualan melepasi 100,000 unit.

"Banyak cabaran yang dihadapi Honda Malaysia sepanjang tahun lalu. Pasaran juga agak sederhana disebabkan peralihan daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

"Walaupun jualan sedikit rendah tahun lalu, Honda Malaysia masih menguasai 17.1 peratus pasaran untuk mengekalkan momentum selaku jenama nombor satu dalam segmen bukan nasional untuk tahun keempat berturut-turut," katanya pada sidang media pengumuman prestasi jualan dan prospek 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dari segi prestasi jualan mengikut model tahun lalu, tujuh model pemasangan tempatan (CKD) iaitu Jazz, City, BR-V, HR-V, Civic, Accord dan CR-V menjadi peneraju dalam segmen masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 7:52 PM