AADRIN (kanan) memperkenalkan menu terbaru yang ditawarkan di stesen minyak Petronas Sri Hartamas.
AADRIN (kanan) memperkenalkan menu terbaru yang ditawarkan di stesen minyak Petronas Sri Hartamas.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Berhad (PDB) meluaskan tawaran kombo sarapannya iaitu Mornings@Mesra dengan menambah rangkaian roti terbaru dikenali Mesra Bites yang terdiri daripada roti keju, sambal ikan bilis, sambal udang dan kaya di mana ia dihasilkan khusus untuk Kedai Mesra.

Pengenalan Mesra Bites itu akan menyaksikan kombo sarapan Mornings@Mesra kini dibahagikan kepada tiga menu iaitu Big Bites, Light Bites dan Happy Bites bagi memenuhi keperluan pelanggan yang cenderung kepada makanan berat dan ringan serta kanak-kanak.

Ketua Perniagaan Runcit PDB, Aadrin Azly berkata, kombo itu mendapat sambutan amat menggalakkan sejak mula diperkenalkan pada 2017 di mana ia membantu syarikat dalam mencatatkan peningkatan 27 hingga 30 peratus dalam jualan makanan pada tahun lalu.

“Berdasarkan kepada sambutan ini, kami mengambil keputusan untuk meluaskan kombo sarapan kami bagi menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan termasuk makanan yang boleh dinikmati kanak-kanak,” katanya pada pengenalan menu terbaru Mornings@Mesra di sini, semalam.

Menu Big Bites terdiri daripada makanan tempatan seperti nasi lemak, bihun goreng, mi goreng, kuih dan pilihan minuman seperti kopi panas, minuman tin Nescafe atau Milo pada harga RM5.

Untuk pelanggan yang cenderung kepada makanan ringan dan sihat, mereka boleh memilih menu Light Bites dan Happy Bites yang menawarkan roti Mesra Bites dan minuman pada harga bermula RM3.

Pilihan minuman seperti kopi panas atau minuman tin Nescafe manakala, menu Happy Bites pula menawarkan minuman berperisa coklat Goodday Charge.

Beliau berkata, semua makanan dan minuman Mornings@Mesra dibekalkan oleh vendor yang dipercayai dan dipilih dengan teliti bagi memastikan pelanggan menikmati sarapan berkualiti bagi memulakan rutin harian masing-masing.

“Melalui kombo ini, kami menawarkan penyelesaian sarapan pantas yang berpatutan sekali gus membolehkan pelanggan yang sibuk lebih selesa untuk mendapatkan dan menikmatinya,” katanya.

Kombo sarapan Mornings@Mesra kini boleh didapati di 450 stesen Petronas manakala, rangkaian roti Mesra Bites boleh didapati di semua stesen Petronas dengan Kedai Mesra di Semenanjung Malaysia.

-TAMAT-

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 10:01 AM