DARI kiri, Mohamed Azahari, Kamaruzzaman dan Abdul Farid mencuba Maybank QRPay di kaunter KFC, semalam.
DARI kiri, Mohamed Azahari, Kamaruzzaman dan Abdul Farid mencuba Maybank QRPay di kaunter KFC, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: Malayan Banking Berhad (Maybank) menjangkakan peningkatan transaksi perbankan mudah alihnya kepada RM40 bilion menjelang hujung tahun ini berbanding RM25 bilion pada 2017.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Farid Alias berkata, peningkatan itu dipacu melalui permintaan tinggi dalam pembayaran tanpa tunai dan penerimaan yang mengalakkan terhadap penggunaan sistem QRPay.

“Kami menyasarkan lebih daripada 200,000 peniaga menawarkan pilihan pembayaran menggunakan kod QR ini menjelang hujung tahun ini berbanding 160,000 peniaga ketika ini,” katanya pada pelancaran KFC-Maybank QRPay di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Bhd, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil.

Maybank adalah bank pertama di Malaysia yang menawarkan kemudahan pembayaran tanpa tunai melalui kod QR dengan memperkenalkan perkhidmatan itu pada Januari tahun ini.

Sementara itu, Maybank dan KFC Malaysia mengumumkan kerjasama bagi menyediakan pembayaran menggunakan Maybank QRPay di restoran KFC seluruh negara, sekali gus menjadikan jenama itu sebagai rangkaian restoran terbesar di Malaysia yang menawarkan kemudahan pembayaran menggunakan kod QR melalui aplikasi Maybank.

Mohamed Azahari berkata, sistem pembayaran digital itu sudah dilancarkan di 11 restoran KFC iaitu Puduraya, Pavilion 2, Bukit Bintang, KL Sentral, Mid Valley Megamall, klia2 (pelepasan dan ketibaan), Sunway Pyramid, Seksyen 7 Shah Alam, The Curve dan VSQ.

“Kami menyasarkan untuk menyediakan pembayaran menggunakan Maybank QRPay ini di semua 699 restoran KFC dan 400 cawangan Pizza Hut menjelang suku pertama 2019,” katanya.

Melalui perkhidmatan terbaru ini, pelanggan yang menggunakan Maybank QRPay di restoran KFC akan menikmati kemudahan pembayaran dengan hanya membuka ciri QRPay di dalam aplikasi Maybank.

Di bawah kerjasama dengan KFC ini, platform Maybank turut akan menyediakan keupayaan pembayaran QR melalui Alipay dan WeChat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 11:00 AM