Najib   menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara  Jamaludin Ibrahim (dua dari kanan) dan  Jamaludin Bujang.  Turut kelihatan,  Ahmad Shabery  (kanan) dan Pengerusi Axiata Group Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar  di The Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam.
Najib menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Jamaludin Ibrahim (dua dari kanan) dan Jamaludin Bujang. Turut kelihatan, Ahmad Shabery (kanan) dan Pengerusi Axiata Group Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar di The Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Axiata Group Berhad (AXIATA) dan Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) menubuhkan dana modal teroka bernilai RM100 juta dikenali Axiata Digital Innovation Fund (ADIF) bertujuan menggalakkan inovasi serta pertumbuhan ekosistem digital Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AXIATA, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim berkata, pihaknya dijangka memperuntukkan sejumlah RM50 juta ke dalam dana terbabit manakala MAVCAP menyalurkan RM20 juta untuk fasa pertama dengan baki selebihnya diraih daripada pelabur utama lain.

“Dana ini akan membantu syarikat teknologi tempatan terutama dalam kalangan Bumiputera dengan sasaran sebanyak 70 peratus untuk syarikat Bumiputera dengan pegangan saham Bumiputera minimum 51 peratus manakala 30 peratus lagi untuk warga Malaysia lain,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara AXIATA dan MAVCAP di sini, semalam.

Upacara terbabit disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Syarikat perniagaan yang layak menerima bantuan ADIF ini terdiri daripada syarikat yang sudah mula menjana hasil, namun masih memerlukan sokongan dari aspek pembiayaan, pengetahuan dan pencapaian dalam pasaran digital serta memiliki pelan perniagaan ekonomi dan produk boleh dipertingkatkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAVCAP, Jamaludin Bujang berkata, pihaknya menjangkakan dana terbabit mampu membantu kewujudan antara lima hingga 10 peneraju utama dalam perniagaan perkhidmatan digital di rantau Asia Tenggara menjelang 2020.

Menurutnya, kewujudan dana itu diharap dapat memberi kesedaran kepada syarikat Malaysia terhadap nilai melabur secara aktif dan membabitkan diri dalam dana modal teroka, sekali gus memastikan mereka kekal kompetitif untuk menghadapi persaingan ekonomi global terutama daripada syarikat multinasional (MNC) milik asing.

“Dana ini disasarkan untuk dilancarkan menjelang akhir tahun ini dengan pembiayaan maksimum berjumlah RM10 juta dan mampu memberi manfaat kepada antara 10 hingga 15 syarikat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:07 AM