NOR Azman (dua dari kiri) berjabat tangan dengan Kamarul Ariffin selepas memeterai perjanjian antara TSS dan Affin Islamic Bank, semalam.
NOR Azman (dua dari kiri) berjabat tangan dengan Kamarul Ariffin selepas memeterai perjanjian antara TSS dan Affin Islamic Bank, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) berjaya mendapat kemudahan pembiayaan RM339 juta bagi projek solar berskala besar (LSS) pertama Malaysia di kawasan seluas 97 hektar di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor.

Syarikat utiliti itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Sepang Solar Sdn Bhd (TSS) dan Affin Islamic Bank Bhd memuktamadkan pembiayaan projek berkenaan.

Naib Presiden (Usaha Niaga Tenaga) TNB, Datuk Nor Azman Mufti berkata, bank itu akan memberi kemudahan pembiayaan dan modal kerja sebanyak RM339 juta.

Katanya, projek itu sebagai perangsang kepada aspirasi TNB untuk muncul peneraju tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.

“Sepertimana kebanyakan syarikat utiliti di dunia yang beralih kepada RE, TNB berhasrat menjadi peneraju RE di ASEAN menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank, Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, Affin Bank Group gembira bekerjasama dengan TNB dan TSS bagi melaksanakan inisiatif kerajaan mewujudkan projek tenaga lestari yang lebih besar.

Perjanjian pembelian tenaga solar (SPPA) bagi projek terbabit dimeterai antara TNB dan TSS pada awal Mac 2017.

TSS adalah syarikat tujuan khas untuk projek berkenaan dan dianugerahkan projek itu oleh Suruhanjaya Tenaga menerusi langkah bidaan yang kompetitif.

Di bawah SPPA selama 21 tahun, TSS akan membekalkan tenaga kepada TNB menerusi grid kebangsaan daripada projek 50 megawatt LSS yang memulakan operasi komersial pada November 2018.

Apabila siap kelak, projek LSS itu akan menjadi tapak solar terbesar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 8:42 AM