MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) melancarkan program pembangunan usahawan dalam industri tenaga boleh diperbaharui solar iaitu ProSolar.

Program ini adalah antara inisiatif di bawah Program Pembangunan Usahawan Teknikal (ProTECH) yang mendapat peruntukan khas daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bagi membangunkan usahawan teknikal terutama dalam bidang berteknologi tinggi.

Pelancaran ProSolar di Putrajaya dihadiri lebih 100 orang usahawan teknikal terpilih untuk diberikan pendedahan terhadap industri tenaga solar di samping perkongsian pengalaman dalam kalangan pemain industri dan agensi kerajaan yang berkepentingan.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, program yang dilaksanakan itu menyasarkan penyertaan usahawan dari lima negeri meliputi Selangor, Wilayah Persekutan, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Mara akan melaksanakan program yang sama di negeri-negeri lain pada fasa seterusnya untuk melahirkan usahawan solar di seluruh negeri," katanya dalam kenyataan.

ProSolar adalah program pembangunan usahawan secara berstruktur yang memberi pendedahan kepada potensi industri, latihan dan bimbingan daripada pemain industri untuk mempercepatkan kejayaan usahawan dalam bidang ini.

Antara pemain industri yang menjadi rakan strategik bagi industri ini adalah Gading Kencana Sdn Bhd dan GSPARX Sdn Bhd.

Peserta terdiri daripada usahawan Bumiputera berumur di antara 21 hingga 45 tahun dan mempunyai persijilan sama ada Pendawaian dan Jentera Elektrik PW2 atau AO dan ke atas.

Peserta terpilih akan ditempatkan di Gading Kencana Sdn Bhd untuk menjalani latihan praktikal pemasangan panel solar di projek yang ditentukan oleh pihak Gading Kencana Sdn Bhd kelak.

MoU yang ditandatangani antara Mara bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut mendapat kerjasama dengan pihak GSPARX Sdn Bhd bagi pemasangan panel solar di bangunan institusi pendidikan Mara yang akan dilaksana oleh usahawan ProSolar.

Mara mensasarkan nilai projek yang tersedia untuk peserta ProSolar bernilai lebih RM300 juta.

Melalui program ini juga, Mara akan melahirkan lebih ramai usahawan Registered Photovoltaic Servcies Provider (RPVSP) yang tersedia dengan pentauliahan daripada SEDA, pengetahuan tentang pemasangan solar, alatan kelengkapan dan juga pembiayaan yang akan disediakan oleh Mara untuk mereka terlibat dalam pemasangan solar bagi sektor industri, kerajaan dan rumah kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 7:10 AM