HM Digital

Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjalankan beberapa inisiatif penambahbaikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tahun ini bagi menampung peningkatan jumlah penumpang.

Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata, inisiatif ini dilakukan bagi menambah baik kedudukan global KLIA, selain meningkatkan tahap perkhidmatan secara menyeluruh kepada pemegang kepentingan utama iaitu pengguna lapangan terbang.

“Kami akan melaksanakan beberapa inisiatif yang mendapat pujian segera dan positif daripada orang ramai.

“Ini termasuk bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dengan membuka lebih banyak kaunter pada waktu puncak bagi mengurangkan barisan serta menguatkuasakan langkah-langkah ketat bagi mengurangkan kesesakan di lorong mengambil dan menurunkan penumpang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya juga akan berkongsi maklumat terkini kemajuan projek jangka panjang secara berkala untuk makluman pengguna KLIA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 12:54 AM