GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
HM Digital

Kuala Lumpur: Memiliki kediaman sendiri menjadi idaman semua individu namun tidak semua mampu membeli kediaman yang diinginkan dan terpaksa menyewa sebelum mempunyai kemampuan kewangan mencukupi.

Namun ada segelintir pihak melabel tuan rumah sebagai kapitalis kerana memberi sewa pada kadar yang tinggi dan bersifat menindas penyewa.

Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) Salkukhairi Abd Sukor berkata, walaupun diakui terdapat pemilik kediaman yang mengenakan sewaan tinggi, namun ia tidak bermakna mereka boleh digelar kapitalis.

“Kapitalis atau kapitalisme ialah sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan bermatlamatkan keuntungan semata-mata.

“Namun, dalam kes memberi sewaan rumah, tuan rumah tidak boleh dianggap sebagai kapitalis jika beliau melakukan perkara dipersetujui penyewa,” katanya.

Menurutnya, jika pemilik rumah menyewakan rumah pada kadar sewaan semasa mengikut nilai dikeluarkan pihak berkuasa atau penilai berdaftar, mereka tidak sepatutnya digelar kapitalis.

“Selain itu, mereka boleh meminta penyewa menandatangani perjanjian sewaan yang dipersetujui bersama,” katanya.

Menurutnya, pemilik boleh meminta penyewa menyediakan deposit sekuriti dan deposit utiliti (api dan air) yang munasabah.

“Deposit sekuriti yang munasabah bagi tempoh dua atau tiga bulan sewaan manakala deposit utiliti yang munasabah adalah sebulan atau dua bulan.

“Malah, pemilik juga bukan bertindak seperti kapitalis jika memotong deposit sekuriti atau deposit utiliti sekiranya penyewa gagal menjelaskan sewaan sebagaimana yang dipersetujui bersama atau sekiranya penyewa meninggalkan rumah dalam keadaan rosak atau terdapat tunggakan bil utiliti oleh penyewa,” katanya.

Menurutnya, pemilik berhak menamatkan perjanjian sewaan jika penyewa gagal menjelaskan sewaan bagi tempoh sehingga tiga bulan berturut-turut tanpa sebab munasabah selepas diberikan tempoh masa.

“Mereka boleh meminta penyewa meninggalkan rumah sewa secara terhormat atau melalui tindakan undang-undang yang berkenaan sekiranya penyewa gagal mematuhi peruntukan dalam perjanjian.

“Pemilik boleh meminta penyewa membaiki kerosakan disebabkan penggunaan harian penyewa seperti tandas dan singki tersumbat atau paip bocor,” katanya.

Salkukhairi berkata, mengikut peraturan Islam, setiap perkara perlu dilakukan secara adil dan dengan ihsan sesama manusia.

“Kita boleh menyewakan kediaman kepada orang lain dan boleh mengenakan kadar bersesuaian. Tidak semestinya membantu orang lain dengan memberi mereka tinggal di rumah kita secara percuma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 8:06 AM