KERAJAAN mengumumkan pengecualian pembayaran sewa untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) selama enam bulan. FOTO Ihsan Salkukhairi Abd Sukor, Datuk Nazri Mustafa & sumber Google
KERAJAAN mengumumkan pengecualian pembayaran sewa untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) selama enam bulan. FOTO Ihsan Salkukhairi Abd Sukor, Datuk Nazri Mustafa & sumber Google
Muhamaad Razis Ismail


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan untuk membasmi penularan pandemik Covid-19 menyebabkan beberapa sektor terkesan.

Baru-baru ini tular di media sosial seorang pemilik rumah mengecualikan bayaran sewa rumah kepada penyewanya pada bulan April untuk meringankan beban penyewanya.

Penulis sempat menemu bual seorang pemilik sebuah pusat asuhan kanak-kanak yang mengakui perniagaan terjejas selepas tidak dapat beroperasi sejak PKP dilaksanakan.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, setiap bulan dia memperuntukkan RM1,200 untuk membayar sewa dua premis kepada pemilik berbeza.

“Saya serba salah untuk mengambil bayaran bulanan daripada ibu bapa kerana tidak dapat beroperasi seperti biasa. Bagaimanapun pada masa sama saya perlu membayar sewa premis dan dua kakitangan,” katanya.

Menurut Timbalan Presiden K-Literasi, Salkukhairi Abd Sukor, secara umumnya di negara ini belum ada satu akta khusus yang mengawal segala urusan berkaitan sewaan rumah kediaman.

“Segala transaksi sewaan antara tuan rumah dan penyewa adalah ditadbir sepenuhnya oleh kontrak atau perjanjian sewaan antara pihak-pihak itu.

“Apa sahaja terma dan syarat yang dinyatakan dalam kontrak atau perjanjian sewaan itu akan mengikat kedua-dua pihak sehinggalah kontrak atau perjanjian itu ditamatkan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

 JIKA bersetuju, perlu rekodkan perjanjian. FOTO Ihsan Salkukhairi Abd Sukor, Datuk Nazri Mustafa & sumber Google
JIKA bersetuju, perlu rekodkan perjanjian. FOTO Ihsan Salkukhairi Abd Sukor, Datuk Nazri Mustafa & sumber Google

Beliau yang juga seorang peguam hartanah berkata, dalam keadaan PKP ini, kedua-dua pihak masih lagi terikat untuk mematuhi terma-terma berkaitan pembayaran sewaan yang dinyatakan dalam perjanjian sewaan itu.

“Melainkan adanya suatu klausa pengecualian yang mengecualikan penyewa daripada menjelaskan bayaran sewaan seperti adanya klausa berkaitan

force majure seperti bencana alam, penularan wabak berjangkit atau adanya klausa khas yang menyatakan disebabkan wujudnya apa-apa perintah atau undang-undang baru yang digubal oleh kerajaan yang membolehkan bayaran sewaan dikecualikan atau apa-apa klausa lain yang seumpamanya,” katanya.

Mengulas lanjut dalam keadaan perjanjian sewaan silent berkenaan, jika penyewa ingin menangguhkan atau mengecualikan bayaran sewaan bulanan untuk tempoh tertentu, dia dan tuan rumah hendaklah berbincang.

“Sekiranya tuan rumah bersetuju dengan cadangan penyewa itu, barulah ia boleh dilaksanakan.

“Digalakkan supaya kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penyewa itu, satu perjanjian tambahan dimasukkan oleh kedua-dua pihak untuk merekodkan persetujuan itu supaya tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari,” katanya.

Sementara itu, perkara sama diakui Presiden HartaGuam, Datuk Nazri Mustafa yang berkata, ini adalah satu isu yang sangat fragile atau delicate untuk dibincangkan tetapi adalah satu permasalahan terkini yang perlukan penyelesaian.

“Pemilik boleh menggunakan budi bicara sama ada untuk menangguhkan atau mengecualikan bayaran sewa untuk bulan tertentu atau membenarkan tunggakan bayaran sewa di bulan yang terbabit dibuat bayaran tangguhan secara ansuran.

“Bagi kes yang tiada perjanjian sewa bertulis dan menggunakan perjanjian mulut semata-mata, nasib penyewa sama ada diberi pengecualian, juga tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara pemilik,” katanya.

TIADA Akta Sewa Rumah Kediaman untuk dapatkan pengecualian sewa. FOTO Ihsan Salkukhairi Abd Sukor, Datuk Nazri Mustafa & sumber Google
TIADA Akta Sewa Rumah Kediaman untuk dapatkan pengecualian sewa. FOTO Ihsan Salkukhairi Abd Sukor, Datuk Nazri Mustafa & sumber Google

Menurutnya, ada antara penyewa yang masih menikmati gaji penuh seperti kakitangan kerajaan dan bank, maka sebenarnya alasan kukuh untuk meminta penangguhan bayaran sewa itu tiada dalam perjanjian sewa.

“Bagi penyewa yang terjejas pendapatan dan ada masalah membayar sewa, manakala pemilik juga terjejas pendapatan kerana tidak mendapat gaji, hilang pekerjaan atau tidak boleh berniaga, perlu berbincang untuk mencari formula pembayaran dan mencari titik situasi ‘menang-menang,’ seperti penangguhan bayaran sewa atau tunggakan satu atau dua bulan sewa dibayar semula secara ansuran, bukan pengecualian penuh kerana kedua-dua pihak memerlukan.

“Bagaimanapun, pindah keluar mungkin bukan jalan terbaik kerana penyewa masih perlu membayar deposit semula dan pemilik baru mungkin lebih berhati-hati untuk memilih penyewa ketika ini,” katanya.

Tambahnya, pihak kerajaan hanya boleh menyarankan pemilik untuk memberi pertimbangan kepada penyewa tetapi tidak boleh mengarahkan untuk berbuat demikian.

“Tidak wujud apa-apa punca kuasa seperti Akta Sewa Rumah Kediaman atau apa-apa punca kuasa undang-undang lain yang boleh kerajaan atau mana-mana badan atau pertubuhan mengawal selia penyewaan premis di Malaysia.

“Keadaan mungkin membantu sekiranya pihak kerajaan menimbangkan untuk juga memberi insentif kepada pemilik-pemilik premis dalam bentuk tunai atau faedah seperti pengecualian pembayaran tertentu,” katanya.

Ujarnya, penyewa boleh cuba berbincang dengan pemilik yang tidak lagi mempunyai hutang bank dan tidak terbabit pun dengan tawaran moratorium enam bulan ansuran dan kutipan sewa itu adalah ‘gajinya’.

“Ada antara pemilik yang tidak mempunyai ‘rizab’ yang kukuh dan moratorium itu membantu kedudukan kewangan pemilik untuk sementara.

“Tapi perlu diingat bahawa kadar faedah atau keuntungan bank masih dikenakan dan sekiranya pinjaman atau pembiayaan itu masih baru atau dalam lingkungan tempoh 10 tahun ke bawah dan tempoh bayaran masih panjang, kemungkinan 60-75 peratus dari ansuran bulanan itu adalah untuk membayar faedah/keuntungan bank,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 7:00 AM