CHUA (kiri) bersama Mirza melancarkan idospa di Kuala Lumpur, semalam.
CHUA (kiri) bersama Mirza melancarkan idospa di Kuala Lumpur, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Idospa Sdn Bhd optimis mencapai AS$32.4 juta nilai tempahan spa setahun bagi pasaran Malaysia, Thailand dan Indonesia menerusi pengenalan platform tempahan dalam talian idospa.

Aplikasi idospa dibangunkan untuk memudahkan orang ramai mendapatkan khidmat spa di negara ini dan di bandar utama seluruh Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Idospa Sdn Bhd, Ben Chua berkata, pihaknya membangunkan idospa Malaysia yang boleh dimuat turun menerusi Android dan iOS.

Katanya, bagi tempoh enam bulan pertama, pihaknya menjangka 2,500 spa boleh didapati menerusi idospa.

“idospa adalah platform mudah alih yang senang digunakan oleh pelanggan dan pemilik spa yang mana mereka boleh menyediakan perkhidmatan lebih komprehensif kepada pelanggan di hujung jari.

“Kami yakin industri spa akan terus meningkat dan menyumbang kepada sektor pelancongan negara dan idospa akan dikembangkan di seluruh Asean secara berperingkat,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi idospa, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegarah Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab.

Menurutnya, tahun ini sektor hospitaliti dan pelancongan dijangka kekal menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, platform idospa dijangka mampu menarik kehadiran pelancong ke spa dan pusat kesihatan berhampiran mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 5:40 AM