Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Tiada seorang pun kakitangan Tourism Malaysia diberhentikan kerja walaupun pejabat negerinya ditutup.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kakitangan terbabit sebaliknya ditempatkan di ibu pejabat Tourism Malaysia di Putrajaya dan agensi lain di bawah kementeriannya.

Katanya, sebagai menteri bertanggungjawab, beliau memikirkan nasib kakitangan di bawah kementeriannya dan tidak membuat keputusan terburu-buru tanpa memikirkan kesannya.

Menurutnya, beliau kesal dengan kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang mendakwa beliau membuat keputusan serta-merta menutup pejabat negeri Tourism Malaysia tanpa berbincang.

"Tolong faham dengan keadaan ini, saya bukannya ego. Sehingga kini CUEPACS tidak menemui saya," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Jualan Nasional Malaysia 2017 di Suria KLCC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Ab Ghaffar A Tambi, Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Siew Ka Wei dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 9:54 PM
Nazri ketika hadir di Kempen Jualan Nasional Malaysia 2017 di Suria KLCC, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
Nazri ketika hadir di Kempen Jualan Nasional Malaysia 2017 di Suria KLCC, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi