PENERIMA anugerah ICAN 2019.
PENERIMA anugerah ICAN 2019.
Fazurawati Che Lah


SERAMAI 75 nelayan di Kampung Makmur, Sungai Galah, Tanjung Tualang, Perak menarik nafas lega apabila masalah pembiakan keladi bunting di tasik perairan berakhir selepas sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengatasinya.

Penyelidik dari Jabatan Pengajian Alam Sekitar diketuai Dr Zufarzaana Zulkeflee berjaya membersihkan keladi bunting yang membiak di 80 ekar perairan perkampungan itu menerusi projek Love Our Lake (LOL2018).

Keladi bunting atau dikenali sebagai tumbuhan makrofit invasif yang tumbuh meliar di tasik perairan perkampungan itu sejak tiga tahun lalu menyebabkan pendapatan nelayan merosot sehingga 70 peratus kerana ikan makin berkurangan.

Dr Zufarzaana berkata, pelbagai kajian komprehensif dijalankan di kawasan tasik perairan itu seperti kualiti air, pembiakan keladi bunting, masalah pengairan, saliran dan isu penggunaan tanah berdekatan pengairan.

Katanya, rebakan keladi bunting menyebabkan oksigen di tasik perairan itu berkurangan sehingga ikan tidak dapat membiak.

“Selain kekurangan ikan, aktiviti nelayan juga sukar dijalankan kerana mereka sukar melalui rebakan keladi bunting dengan bot dan berdepan kesukaran untuk menjala.

“Pelbagai masalah dihadapi nelayan sehingga menyebabkan punca pencarian terjejas ekoran tidak dapat menjalankan aktiviti menangkap ikan,” katanya.

Selepas beberapa kali kajian dijalankan penyelidik UPM, usaha pembasmian keladi bunting dilakukan secara mekanikal menggunakan mesin penuai rumpai.

“Selain itu, gotong-royong perdana pembasmian keladi bunting turut membabitkan pembersihan secara manual oleh penduduk.

GOTONG-ROYONG perdana pembasmian keladi bunting turut membabitkan pembersihan manual.
GOTONG-ROYONG perdana pembasmian keladi bunting turut membabitkan pembersihan manual.

“Kami berjaya membersihkan hampir 80 ekar kawasan tasik perairan itu dalam

tempoh setahun. Pada

masa sama, beberapa

jenis ikan laut turut dilepaskan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Nelayan Ikan Air Tawar (PENIAT), Kampung Makmur, Sairul Nizam Mohamad Saleh berkata, penduduk bersyukur dengan bantuan UPM itu kerana mereka kini boleh melaksanakan aktiviti nelayan seperti biasa.

“Pendapatan nelayan juga makin stabil, mereka tidak lagi runsing memikirkan masalah untuk turun menangkap ikan,” katanya.

Katanya, penduduk kampung itu rata-ratanya nelayan dan pendapatan bergantung kepada hasil laut untuk menyara keluarga.

Kajian Dr Zufarzaana menuai hasilnya apabila projek komuniti itu menerima Anugerah Projek Jaringan Komuniti (Pegawai Akademik) Terbaik pada majlis Anugerah Jaringan Industri dan Komuniti Berimpak Tinggi (ICAN 2019) UPM di Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTA), Kementerian Pendidikan, Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin ketika merasmikannya berkata, majlis itu mampu menjadi motivasi untuk mereka yang terbabit kerana kerja yang dihasilkan selain hubungan terjalin diberi penghargaan.

Pada majlis itu, anugerah ICAN disampaikan kepada Rakan Industri, Rakan Komuniti, Pusat Tanggungjawab (PTJ), Staf dan Pelajar UPM yang menyerlah dalam aktiviti Jaringan Industri dan Masyarakat (JINM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 10:43 AM