USAHA konservasi penting dalam kelangsungan spesies kuda laut dalam perairan.
USAHA konservasi penting dalam kelangsungan spesies kuda laut dalam perairan.
Nurul Husna Mahmud

Peminat hidupan marin pastinya menyedari selain ikan, ada spesies lain berpotensi untuk dipelihara.

Namun, tidak mudah kerana ada parameter tertentu untuk setiap hidupan termasuk kandungan garam larut dalam air (saline) dan diet. Ia memberi cabaran kepada peminat hidupan marin untuk memeliharanya.

Bagaimanapun, hidupan marin cukup dikenali dengan rupa eksotik seperti kuda laut antara yang popular. Ia memiliki kelompok peminat ramai, tetapi masih ada cabaran dalam memeliharanya.

Pegawai Sains Kanan dan Pengurus Projek Translasional Kuda Laut Institut Bioteknologi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Thirukanthan C S, mengakui ada permintaan dalam industri ikan hiasan mahupun memelihara kuda laut.

RUPA anak kuda laut dalam konservasi.
RUPA anak kuda laut dalam konservasi.

"Kuda laut perlu ada air masin untuk hidup. Ini menjadikan kuda laut sensitif kepada perubahan suhu dan mineral. Kalau salah mineral, kuda laut akan hilang warna.

"Faktor lain adalah pemakanan. Tidak seperti ikan hiasan, kuda laut sukar dilatih untuk makan palet. Risiko mati juga tinggi untuk kuda laut jika parameter air tidak kondusif," katanya.

Katanya, kewujudan kuda laut dalam habitat semula jadinya di perairan Malaysia adalah kira-kira 12 hingga 15 spesies.

HIPPOCAMPUS kuda antara spesies kuda laut ditemui dalam perairan.
HIPPOCAMPUS kuda antara spesies kuda laut ditemui dalam perairan.

"Habitat rumput laut adalah kawasan yang mampu menyediakan habitat terbaik bagi spesies kuda laut. Seperti penemuan Hippocampus kuda dan Hippocampus trimaculatusdi kawasan rumput laut di perairan Selat Tebrau (Sungai Pulai) pada kedalaman kurang 10 meter.

"Kumpulan penyelidik UMT yang memantau spesies ini juga merekodkan hampir 70 kuda laut di perairan kepulauan di Terengganu bagi spesies Hippocampus spinosissimus dan Hippocampus trimaculatus pada 2017 hingga 2021," katanya.

Kedua-dua spesies terbabit dijumpai pada kedalaman lebih 15 meter di dasar lautan yang berpasir. Kuda laut turut memiliki kebolehan penyamaran khususnya pada warna badan bagi tujuan memburu makanan.

KUDA laut Hippocampus spinosissimus memiliki bentuk unik.
KUDA laut Hippocampus spinosissimus memiliki bentuk unik.

Spesies lain turut ditemui sepanjang tempoh sama terutama di kawasan terumbu karang menerusi kerjasama dari pusat penyelaman skuba.

Antaranya Hippocampus kelloggi, Hippocampus spinosissimus dan Hippocampus trimaculatus di perairan Langkawi manakala Hippocampus comes dan Hippocampus bargibanti di perairan Sabah.

"Ancaman bukan hanya kerana permintaan tinggi dalam perubatan alternatif untuk merawat pelbagai penyakit, populasi kuda laut turut diancam akibat aktiviti nelayan.

"Kuda laut mudah tertangkap mahupun tersangkut kepada peralatan nelayan yang bukan spesifik seperti pukat nelayan dan lain lain," katanya.

KUDA laut juga diburu untuk perubatan alternatif.
KUDA laut juga diburu untuk perubatan alternatif.

Merujuk kepada inisiatif pemeliharaan spesies kuda laut, Program Pemindahan Ilmu Kuda Laut (Projek Unduk2) dirangka dan dilaksanakan UMT sejak Mei 2018 diketuai Profeor Dr Effendy Abd Wahid dan diuruskan Dr Thirukanthan sendiri.

"Tiga elemen utama yang diterapkan adalah kaedah teori (kelas menerusi pembelajaran), pendekatan teknikal (penternakan langsung di komuniti secara berkumpulan) dan pengiktirafan komuniti (penyertaan program konservasi)," katanya.

KEADAAN kuda laut Hippocampus barbouri (merah) yang bunting.
KEADAAN kuda laut Hippocampus barbouri (merah) yang bunting.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 6:20 AM