CHE ELINA (kanan) sedang membakar kuih dangai menggunakan dapur baru.
CHE ELINA (kanan) sedang membakar kuih dangai menggunakan dapur baru.
Fazurawati Che Lah


MASALAH pengeluaran kuih dangai yang lambat akibat penggunaan dapur yang kurang sesuai memberi idea kepada penuntut Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Arau, Perlis menghasilkan inovasi dapur pembakar kuih untuk pemanis mulut itu.

Inovasi dihasilkan sekumpulan penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS itu berupaya mempercepatkan penghasilan kuih dangai.

Ketua Projek, Muhammad Aizat Abdul Halim berkata, rekaan itu hasil tinjauan masalah dihadapi usahawan kuih dangai di bawah bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) kawasan Jerlun, Kedah, Che Elina Abdul Rahman.

“Peniaga menghadapi masalah berkaitan pengeluaran kuih dangai yang lambat akibat penggunaan dapur kurang sesuai.

 KUMPULAN penuntut PTSS bergambar dengan pengusaha kuih dangai Che Elina.
KUMPULAN penuntut PTSS bergambar dengan pengusaha kuih dangai Che Elina.

“Dapur yang digunakan sebelum ini mempunyai tempat pembakaran yang sedikit, api perlahan dan tidak boleh dilaraskan,” katanya.

Katanya, rekaan dapur dihasilkan dengan menggunakan dapur gas konvensional dengan gabungan tungku pada alat memasak itu. Sekali gus menambah bilangan tungku dapur pembakar dangai sedia ada daripada tiga kepada enam acuan.

“Selain itu, api yang dihasilkan lebih sekata, boleh dilaraskan mengikut kesesuaian pembuat kuih dangai, berbanding dapur lama tidak boleh dilaraskan dan menghasilkan api yang perlahan,” katanya.

PERBANDINGAN dapur  membuat kuih dangai, dapur lama (kiri) dan dapur hasil inovasi (kanan).
PERBANDINGAN dapur membuat kuih dangai, dapur lama (kiri) dan dapur hasil inovasi (kanan).

Selain Muhammad Aizat, empat lagi rakannya yang menjayakan projek itu ialah Muhammad Zharif Zarmini, Nuraishah Jasmin Ahmad Musfareza, Muhammad Hazeeq Aliff Mohd Hairi dan Muhammad Azlin Ikmar Bakhtiar di bawah penyeliaan pensyarah Mohd Fadhli Ahmad.

Menurut Mohd Fadhli, rekaan itu ialah projek wajib penuntut pada semester akhir bagi membolehkan mereka menamatkan pengajian.

Katanya, bagi tahun ini tema yang ditekankan adalah membantu golongan industri kecil sederhana dan usahawan dengan projek yang dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah PTSS Abdul Malek Hassan berbangga kerana inovasi dihasilkan itu membantu industri kecil dalam usaha mengembangkan perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 11:26 AM