SEBAHAGIAN 30 pelajar Universiti Princess of Naradhiwas mencanting batik.
SEBAHAGIAN 30 pelajar Universiti Princess of Naradhiwas mencanting batik.
SEBAHAGIAN 30 pelajar Universiti Princess of Naradhiwas menunjukkan hasil batik yang disiapkan.
SEBAHAGIAN 30 pelajar Universiti Princess of Naradhiwas menunjukkan hasil batik yang disiapkan.
Syed Ismail Syed Abu Bakar


Kehalusan seni batik merangkumi reka bentuk dan corak tekstil diasaskan daripada penggunaan lilin serta bahan pewarna dilukis secara bebas menggunakan canting nyata mempunyai tarikan tersendiri.

Malah ia turut menarik minat lebih 30 penuntut Universiti Princess of Naradhiwas, Thailand ketika mengunjungi Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM), Minden, baru-baru ini.

Mereka antara siswa yang mengikuti pengajian Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan Universiti Sains Malaysia (USM).

Mereka diberi peluang melukis dan mewarna lakaran corak seni batik yang menjadi salah satu seni tradisi budaya serta berkembang di kepulauan Melayu.

Kurator MGTF Afzanizam Mohd Ali berkata, peserta terbabit berkesempatan melawat ke MGTF selepas mengikuti pengajian dan kursus dalam bidang berkaitan.

“Mereka kagum dengan penduduk negara ini yang memakai batik dan disifatkan mempunyai makna simbolik dengan motif etnik, sekali gus mencermin status sosial sesuatu masyarakat.

“Program ini memberikan pendedahan dan pengetahuan asas berkenaan proses pembuatan batik canting secara praktikal.

“Ia dapat membantu mencungkil bakat baru untuk diketengahkan pada suatu hari nanti, sekali gus mempromosikan keindahan batik kepada rakyat mewakili pelbagai negara ASEAN,” katanya.

Malah beliau turut melihat program tidak formal kepada pelajar ini dapat memupuk minat mereka menimba pengetahuan berkenaan warisan seni batik yang menjadi kebanggaan rakyat negara ini.

Penuntut tahun dua Fakulti Kejuruteraan, Fatin Hagihama, 19, nyata teruja apabila diberi peluang mempelajari seni batik canting yang terkenal dengan kehalusan kesenian visual dari daya fikir dan kreativiti budaya.

“Hasil seni kraf tangan tradisional unggul dan unik ini mempunyai identiti tersendiri. Sewajarnya dapat dijadikan produk mampu menjana ekonomi.

“Pulau Pinang mampu muncul sebagai pengeluar batik pada masa depan jika program membabitkan penyertaan generasi muda.

“Khususnya pada peringkat pelajar sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi dalam pembelajaran batik canting dilaksanakan secara lebih serius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 2:08 PM