VERSTAPPEN kuasai GP British. -FOTO AFP
VERSTAPPEN kuasai GP British. -FOTO AFP
AFP

Silverstone, United Kingdom: Max Verstappen meneruskan penguasaannya dalam usaha merangkul kejuaraan dunia Formula Satu (F1) ketiga apabila dia meraih kemenangan Grand Prix British pertamanya dan menyamai rekod kemenangan ke-11 berturut-turut buat pasukan Red Bullnya.

Ia adalah kemenangan keenam berturut-turut, kelapan dalam 10 perlumbaan dan ke-43 dalam kariernya sebagai pelumba Red Bull menyamai pencapaian McLaren yang memenangi 11 perlumbaan berturut-turut pada 1988.

Juara dunia dua kali itu kini meninggalkan rakan sepasukan Sergio Perez jauh di hadapan dalam pemburuan kejuaraan dengan 99 mata.

Dalam perlumbaan yang diganggu oleh kereta keselamatan dan dipengaruhi oleh kehausan tayar, pelumba Belanda itu 3.7 saat di hadapan Lando Norris dari McLaren yang berjaya mengatasi juara tujuh kali dari Mercedes, Lewis Hamilton di kedudukan ketiga dalam perlumbaan yang mendebarkan.

Rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri menduduki tempat keempat di hadapan George Russell, Perez, juara dua kali Fernando Alonso dari Aston Martin dan Alex Albon dari Williams.

Charles Leclerc dari Ferrari dan Carlos Sainz masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dan ke-10, keputusan mengecewakan untuk pasukan Itali selepas mereka bermula dari petak keempat dan kelima di grid.

"Sebelas berturut-turut! Itu cukup gila. Syabas semua" kata Verstappen.

"Saya melakukan sedikit drifting pada hari Khamis dan hari ini saya rasa seperti saya melakukannya sekali lagi! Kami akan menelitinya kerana ia tidak begitu baik dan saya juga mempunyai permulaan yang buruk."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 6:42 AM