PEMANDU Ferrari, Charles Leclerc memenangi perlumbaan GP Austria, awal bulan ini. FOTO REUTERS
PEMANDU Ferrari, Charles Leclerc memenangi perlumbaan GP Austria, awal bulan ini. FOTO REUTERS
AFP

Le Castellet, Perancis: Charles Leclerc berusaha untuk melengkapkan kemenangan hatrik kali pertama buat Ferrari sejak 2019 dengan mengatasi juara Formula Satu dunia, Max Verstappen dan ancaman Lewis Hamilton di Grand Prix (GP) Perancis, hujung minggu ini.

Leclerc, 24, yang memenangi GP Austria, sebelum ini selepas rakan sepasukan, Carlos Sainz menjuarai GP Britain, dijangka menikmati sokongan padu penonton yang sedang bercuti di tenggara Perancis.

Tetapi, dia perlu mengatasi beberapa cabaran untuk merapatkan jurang 38 mata dimiliki bintang Red Bull, Verstappen pada perlumbaan ke-11 daripada 22 GP musim ini, termasuk cabaran Sainz, yang mahu terus mencipta nama selepas kejayaan di Silverstone.

Ketua pasukan Ferrari, Mattia Binotto menyatakan dia tidak akan mengeluarkan arahan kepada pasukan untuk menyokong Leclerc, buat masa ini, selain cabaran pemandu kedua Red Bull, Sergio Perez dan pemandu kedua Mercedes, George Russell, sekali gus menjanjikan perlumbaan sengit dan dramatik.

"Kami sudah merapatkan jurang daripada segi pecutan," kata Binotto mengenai usaha Ferrari mengejar Red Bull.

"Saya fikir mereka masih memiliki sedikit kelebihan, tetapi terlalu kecil atau boleh diabaikan."

Berdasarkan cuaca panas boleh mencecah 40 darjah Selsius, kelemahan Ferrari mungkin kelihatan lagi sebagaimana dicadangkan ketua aerodinamik, Diego Tondi dalam previu pasukan.

"Suhu tinggi itu bermakna cabaran besar untuk memastikan unit kuasa dan tayar berfungsi pada tahap terbaik, jadi ia bergantung kepada mereka yang bertugas di bahagian aerodinamik untuk mengambil langkah sepatutnya," katanya.

Harapan Ferrari untuk merangkul kemenangan satu dua di Austria terbantu berikutan masalah enjin dialami Sainz pada saat akhir manakala cabaran Leclerc memburu gelaran dunia turut terjejas selepas berpeluang menang di empat GP kerana masalah kereta atau silap strategi.

Menyedari keperluan untuk kekal konsisten, Binotto berkata, dia akan mengelak arahan mengutamakan mana-mana pelumba, tetapi mendahulukan kedudukan mata keseluhan pasukan pada setiap perlumbaan.

"Kereta terpantas di trek akan diberi keutamaan," katanya.

"Apabila melakukan perkara itu, ia akan membantu dari segi kejuaraan dan itu yang terbaik. Mungkin nanti, salah seorang pelumba akan berpeluang menjadi keutamaan kami, tetapi buat masa ini, saya gembira melihat mereka bersaing."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 10:18 AM