MARC Marquez (tengah) meraikan kemenangannya. Turut kelihatan, pelumba Ducati, Andrea Dovizioso (kiri) and SUZUKI ECSTAR, Andrea Iannone (kanan). FOTO AFP
MARC Marquez (tengah) meraikan kemenangannya. Turut kelihatan, pelumba Ducati, Andrea Dovizioso (kiri) and SUZUKI ECSTAR, Andrea Iannone (kanan). FOTO AFP
Agensi

PELUMBA Repsol Honda, Marc Marquez menamatkan kemarau kemenangan di Grand Prix (GP) Aragon, Sepanyol sekali gus mengukuhkan penguasaannya selaku pendahulu keseluruhan MotoGP, hari ini.

Marquez yang kini mendahului carta keseluruhan dengan 246 mata, melengkapkan 23 pusingan saingan dengan catatan terpantas, 41 minit 55.949 saat tatkala saingan musim hanya berbaki lima perlumbaan saja lagi.

Tempat kedua dimiliki pelumba Ducati, Andrea Dovizioso yang ketinggalan 0.648s di belakang Marquez manakala Andrea Iannone (Team SUZUKI ECSTAR) melengkapkan pentas podium di sirkit MotorLand Aragon itu.

Kali terakhir Marquez yang juga juara bertahan meraih kemenangan adalah di GP Jerman, pertengahan Julai lalu.

Sementara itu pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang bermula dari petak ke-18 pula menamatkan saingan di tangga ke-18 manakala pesaingnya dalam senarai muka baharu terbaik, Franco Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS) terus menjarakkan kedudukan selaku pendahulu apabila menemui garisan penamat di tangga ke-11.

Hafizh yang bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 itu kini ketinggalan tujuh mata di belakang Morbidelli dalam senarai berkenaan dengan 24 mata.

Pusingan ke-15 musim selepas ini bakal memasuki pentas Asia dan Australia dengan GP Thailand yang berada dalam kalendar MotoGP buat kali pertamanya menjadi destinasi pertama, 7 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 9:12 PM