PELUMBA motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah.
PELUMBA motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Hafizh Syahrin Abdullah mengakui kecewa dengan prestasi jenteranya selepas mengharungi dua perlumbaan di pusingan kedua Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dekat Litar TT Assen.

Pada perlumbaan pertama Sabtu lalu, Hafizh yang beraksi bersama MIE Racing Honda Team sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 manakala di tempat ke-27 pada perlumbaan kedua semalam.

"Saya agak kecewa dengan keputusan diberikan kepada pasukan atau peminat yang sentiasa menyokong saya.

"Buat masa ini jentera kami agak sukar untuk beri saingan dengan pasukan lain, jadi saya harap pada perlumbaan akan datang ada perkembangan ketara untuk jentera saya," katanya.

Jelas Hafizh, rakan sepasukannya, Leandro Mercado memperoleh item baharu pada jenteranya, tetapi masih jauh ketinggalan berbanding dengan pelumba di depan.

"Saya minta maaf kepada peminat kerana tak dapat berikan keputusan yang terbaik, tetapi saya masih yakin dengan diri sendiri.

"Cuma buat sementara ini, hanya ini keputusan mampu diberikan dan saya akan terus berusaha dengan pengalaman yang saya ada," katanya.

Hafizh berkata, dia akan pulang ke Malaysia untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga sebelum terbang semula ke Estoril, Portugal bagi mengharungi pusingan ketiga bermula 20 hingga 22 Mei depan.

Pada pusingan pembuka tirai di Aragon sebelum ini, Hafizh menamatkan perlumbaan pertama di kedudukan ke-21 dan perlumbaan kedua di kedudukan ke-20.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 2:29 PM