JENTERA Dupasquier yang menggunakan nombor 50. FOTO Agensi
JENTERA Dupasquier yang menggunakan nombor 50. FOTO Agensi
Agensi

Sachsenring: Nombor 50 milik Jason Dupasquier tidak akan digunakan lagi dalam kelas Moto3 dengan satu upacara khas akan berlangsung di Grand Prix (GP) Jerman minggu ini.

Pelumba Switzerland berusia 19 tahun itu maut selepas terbabit dengan kemalangan pada sesi kelayakan di GP Itali dekat Mugello bulan lalu.

Upacara ringkas itu akan berlangsung di bilik sidang media Jumaat ini dengan disaksikan rakan sepasukannya di CarXpert Prustel GP.

Upacara sama pernah dilangsungkan untuk menghormati Luis Salom (Moto3), Shoya Tomizawa (Moto2), Marco Simoncelli (MotoGP) dan Daijiro Kato (MotoGP) yang turut kehilangan nyawa di atas litar.

Nombor 69 milik juara dunia MotoGP 2006, Nicky Hayden juga tidak digunakan lagi selepas beliau meninggal dunia susulan insiden kemalangan basikal.

Manakala nombor 65 milik Loris Capirossi dan 34 yang digunakan Kevin Schwantz juga tidak digunakan lagi selepas kedua-dua legenda itu mengumumkan persaraan mereka.

Dupasquier beraksi pada musim kedua di Moto3 dan sudah mengutip mata pada setiap perlumbaan menjelang pusingan di Mugello.

Ia termasuklah penamat ketujuh yang diraihnya dan hanya ketinggalan 1.043 saat di belakang pemenang di Jerez.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 10:20 AM