HAMILTON (kiri) dan Bottas meraih penamat satu dua. FOTO AFP
HAMILTON (kiri) dan Bottas meraih penamat satu dua. FOTO AFP
AFP

Imola: Lewis Hamilton memenangi Grand Prix (GP) Emilia-Romagna di Imola hari ini sekali gus menyaksikan Mercedes melakar rekod gelaran pengeluar buat kali ketujuh berturut-turut.

Rakan sepasukan Hamilton yang memulakan perlumbaan di petak pertama, Valtteri Bottas menamatkan saingan di tempat kedua manakala Daniel Ricciardo dari Renault, ketiga.

"Pencapaian yang luar biasa daripada anda semua. Saya sangat berbangga dengan anda dan rasa bertuah menjadi sebahagian daripada kejayaan ini," kata Hamilton menerusi radio pasukan.

"Sudah pasti tidak dapat melakukannya tanpa anda," balas krew pasukan di garaj Mercedes.

Ia adalah kemenangan ke-93 Hamilton sekali gus melebarkan kedudukan pendahulu berbanding Bottas dengan kelebihan 85 mata ketika berbaki empat pusingan perlumbaan lagi.

Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff yang meraikan ulang tahun kelahiran ke-47 berkata, gelaran ketujuh itu amat membanggakan.

Saingan Formula Satu (F1) akan berehat selama seminggu sebelum kembali di Grand Prix Turki pada 15 November yang mana Hamilton berpeluang mengesahkan kejuaraan dunia kali ketujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 10:31 PM