AKSI Sanjay (kiri) pada temasya Sukan SEA.
AKSI Sanjay (kiri) pada temasya Sukan SEA.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Dua emas dimenangi Sanjay Singh pada temasya Sukan SEA Singapura tidak menjanjikan kedudukan terjamin dalam skuad kebangsaan dan dia perlu berusaha lebih keras lagi untuk menguasai pentas antarabangsa.

Perkara itu diakui Sanjay yang kini berkedudukan ranking ke-115 dunia dan perlu berada dalam kelompok 100 terbaik seandainya mahu mengorak langkah lebih jauh dalam sukan itu.

Atlet berusia 21 tahun dari Miri, Sarawak itu berharap dapat memperbaiki prestasinya dengan menyertai beberapa pertandingan dan menetapkan untuk muncul juara sekali gus berada di kedudukan ranking 100 terbaik.

“Saya harap dapat berlatih di Eropah dan kertas cadangan sudah dihantar kepada MSN (Majlis Sukan Negara) untuk mempertimbangkan hasrat itu. Tapi saya perlu memenuhi beberapa kriteria ditetapkan iaitu memenangi beberapa kejohanan dan seandainya berjaya, sudah pasti saya dapat memperbaiki ranking.

“MSN menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 100 terbaik tapi saya letakkan sasaran dalam ranking 80 teratas. Saya akan bekerja keras merealisasikan sasaran itu,” katanya.

Mula bermain skuasy sejak berusia sembilan tahun, Sanjay berkata, selepas ini akan menyertai Terbuka Victoria dan Terbuka Australia selain cuba memenangi kejohanan bertaraf satu bintang dan mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir kejohanan lebih tinggi dan mahal hadiahnya.

Sanjay kini berada dalam ranking keempat terbaik negara di belakang Nafiizwan Adnan, Ong Beng Hee dan Ivan Yuen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 8:16 AM