AKSI  Duplantis melepasi palang acara lompat bergalah di Glasgow. FOTO AFP
AKSI Duplantis melepasi palang acara lompat bergalah di Glasgow. FOTO AFP
AFP

ATLET Sweden, Armand Duplantis memperbaharui rekod dunia acara lompat bergalah miliknya pada kejohanan dalam dewan di Glasgow awal pagi. Catatan 6.18m itu satu sentimeter lebih tinggi daripada rekod lama dicatatnya di Poland minggu lalu.

Duplantis yang meraih pingat perak di Kejohanan Dunia di Doha tahun lalu melepasi palang dan membolehkannya membawa pulang bonus rekod dunia $30,000 (RM124,000).

Rekod dunia 6.16m milik atlet Perancis, Renaud Lavillenie bertahan sejak 2014 sehinggalah Duplantis mengatasinya di Torun, Poland, Sabtu lalu.

Duplantis yang dikenali dengann panggilan ‘Mondo’ berlari di trek sambil menandatangani autograf penonton.

"Banyak perkara berlaku sebelum saya sampai ke tahap ini, kerja keras memakan masa bertahun-tahun,” katanya. “Ia sangat sukar tetapi jika kita melakukannya dengan betul ia tampak mudah.

"Saya rasa bagus ketika membuat larian. Saya rasa laju, kuat dan melompat mengikut strategi. Olimpik sukan paling tinggi atlet boleh bertanding dan untuk itu saya mahu beri yang terbaik musim ini. Ini permulaan terbaik."

Duplantis memulakan acara pada ketinggian 5.50m dan melepasi 5.75m pada percubaan kedua, Juara dunia dua kali, Sam Kendricks mendahului tetapi atlet Amerika Syarikat itu menyerah kalah pada ketinggian 5.84m.

Duplantis yang berusia 20 tahun itu melepasi palang pada percubaan pertama dan ketika tiada siapa memberi cabaran dia berjaya melepasi 6m.

Palang kemudiannya dinaikkan 6.18m dan dia melepasinya untuk rekod dunia pada percubaan pertama.

Sementara itu, juara dunia 100 meter, Shelly-Ann Fraser-Pryce dari Jamaica menewaskan juara 100m dalam dewan, Murielle Ahoure dari Ivory Coast dalam acara 60m dengan catatan 7.16s. i

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 10:47 AM