NELLY berlatih menjelang Kejuaraan Chevron. FOTO AFP
NELLY berlatih menjelang Kejuaraan Chevron. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Pemain golf nombor satu dunia, Nelly Korda memburu untuk menyamai rekod lima kemenangan berturut-turut LPGA apabila Kejuaraan Chevron yang juga acara utama pertama wanita bagi tahun ini, bermula di Texas, esok.

Pemain Amerika Syarikat (AS) itu yang memenangi empat kejohanan pada 2024 termasuk LPGA Match Play di Las Vegas, bulan ini, boleh menyamai rekod lima kemenangan berturut-turut dilakar Nancy Lopez pada 1978 dan Annika Sorenstam pada 2005.

Tetapi, pemain berusia 25 tahun itu berkata, dia hanya fokus kepada cabaran dihadapinya iaitu meraih gelaran utama kedua selepas menjuarai Kejohanan PGA Wanita pada 2021.

"Saya mahu memastikan minda saya tidak terlalu memikirkan mengenai kemenangan berturut-turut itu," kata Nelly.

"Saya rasa seperti ia hadir dengan lebih banyak tekanan tambahan."

Sebaliknya, Nelly menumpukan kepada usaha menguasai lapangan dengan par 72 di The Woodlands itu.

Pemain Ireland, Leona Maguire dianggap pencabar terdekat Nelly apabila dia tewas dengan pukulan 4&3 di final Match Play, dua minggu lalu.

"Sudah tentu, Nelly adalah pemain terbaik dunia pada masa ini, mungkin bagi lelaki dan wanita," kata Leona.

"Dia bermain golf pada tahap sukar dipercayai dan sudah tentu anda perlu melakukan banyak birdie jika mahu mengalahkannya."

Nelly akan dicabar 11 bekas juara termasuk juara bertahan, Lilia Vu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 12:08 PM