EMMA membalas pukulan Aryna Sabalenka pada perlawanan pusingan keempat Indian Wells. FOTO AFP
EMMA membalas pukulan Aryna Sabalenka pada perlawanan pusingan keempat Indian Wells. FOTO AFP
AFP

Indian Wells, Amerika Syarikat (AS): Pemain AS, Emma Navarro menyingkirkan juara Terbuka Australia, Aryna Sabalenka untuk mara ke suku akhir Masters Indian Wells, awal pagi tadi, sama seperti Coco Gauff.

Emma yang menduduki ranking ke-23 dunia mengejutkan Aryna pada perlawanan di Stadium Court yang juga kemenangan pertamanya ke atas pemain ranking lima terbaik dunia dengan 6-3, 3-6, 6-2.

Coco yang juga juara Terbuka AS dan pilihan ketiga kejohanan menyambut ulang tahun kelahiran ke-20 dengan kemenangan selesa 6-0, 6-2 ke atas pemain Belgium, Elise Mertens.

Kemenangan itu menyaksikan Emma, 22, meneruskan musim cemerlang selepas memenangi trofi WTA di Hobart serta mara ke separuh akhir di Auckland dan San Diego.

"Memang menarik dapat bermain menentang lawan sehebatnya dan saya rasa boleh melawan dan menang," kata Emma.

"Saya bekerja keras sejak beberapa tahun lalu untuk sampai ke tahap ini dan dapat bermain pada tahap hampir sama dengan pemain terbaik dunia.

"Saya membuktikannya hari ini. Dia memberi kesukaran, tetapi saya mampu bermain tenis dengan baik pada detik penting ini."

Manakala Aryna mengalami detik mengecewakan selepas mempertahankan gelaran pada acara Grand Slam pembuka tirai tahun ini.

Penyingkiran di pusingan keempat itu menyusul selepas bintang Belarus itu kecundang di perlawanan pembukaan di Dubai, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 10:20 AM