PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. FOTO MPM
PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. FOTO MPM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kontinjen para negara tampil di Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan misi lebih berani apabila meletakkan sasaran untuk membawa pulang empat pingat emas, sekali gus melengkapkan 10 emas sepanjang penyertaan di temasya itu.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, Sukan Paralimpik berlangsung dari 28 Ogos hingga 9 September menyaksikan atlet para negara perlu memperoleh sekurang-kurangnya empat lagi emas.

Katanya, jika sasaran itu dicapai, ia akan menyaksikan kontinjen negara berjaya mengumpul keseluruhan 10 emas sejak temasya Paralimpik di Rio 2016 dan Tokyo 2020.

"Ini adalah sasaran awal kami (MPM), kita perlu letak penanda aras supaya kita tahu ke mana arah tuju kita.

"Kalau tidak letak sasaran maknanya kita boleh leka atau berasa selesa, saya tidak mahu itu berlaku.

"Sasaran itu penting kerana ia akan menjadi akan satu garis panduan untuk atlet bekerja keras. Jika tidak ada sasaran, saya tidak mahu nanti rakyat cakap kita pergi untuk bercuti...habiskan duit rakyat.

"Kita perlu ada akauntabiliti untuk setiap atlet dan kita di sini. Kita perlu memastikan setiap dana yang dibelanjakan itu harus berbaloi kerana ia adalah duit rakyat, itu yang paling penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) MPM dan Rakan Strategik TambahEMAS Paralimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

Sebagai rekod, kontinjen Malaysia membawa pulang tiga emas di Paralimpik Rio 2016 dan di Tokyo 2020.

Sementara itu, Megat optimis Malaysia akan dibarisi lebih daripada 20 atlet bagi menggalas cabaran negara di Sukan Paralimpik tahun ini dengan sembilan atlet sudah layak ke temasya di Paris itu.

Beliau, berkata sembilan atlet berkenaan terdiri daripada tiga atlet berbasikal selain masing-masing dua daripada sukan renang, memanah dan olahraga.

Dalam perkembangan lain, Megat turut memaklumkan polis masih lagi menjalankan siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan jurulatih para renang negara.

Katanya, seperti diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini, jurulatih itu sudah pun direhatkan sehinggalah siasatan selesai.

Sebelum ini, Megat mengesahkan seorang jurulatih para disiasat kerana melakukan gangguan seksual terhadap seorang atlet para bawah umur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 5:47 PM