DE Minaur muncul juara di Acapulco selepas menumpaskan Ruud. FOTO AFP
DE Minaur muncul juara di Acapulco selepas menumpaskan Ruud. FOTO AFP
AFP

Mexico City: Alex de Minaur dari Australia memenangi kejuaraan Terbuka Mexico kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Casper Ruud dari Norway 6-4, 6-4 pada perlawanan akhir di Acapulco.

Pemain berusia 25 tahun dari Sydney itu merangkul kejuaraan ATP kelapan dalam kariernya selepas tumpas di empat perlawanan akhir berturut-turut sejak menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS) Tommy Paul pada final tahun lalu, yang terbaru bulan lalu di Rotterdam.

Pemain nombor sembilan dunia itu, yang dua kali juara di Atlanta, menumpaskan Ruud dalam aksi satu jam 57 minit, sekali gus memperkemaskan rekod pertemuan kepada 2-0 selepas menang dalam satu-satunya pertemuan mereka sebelum ini di ATP Final NextGen 2019.

Ruud, yang juga dua kali naib juara Terbuka Perancis dan naib juara Terbuka AS 2022, terlepas gelaran ATP ke-11 untuk minggu kedua berturut-turut selepas tewas dalam perlawanan akhir minggu lalu di Los Cabos kepada seorang lagi wakil Australia, Jordan Thompson.​

"Permainan yang hebat sepanjang minggu. Anda terlalu baik hari ini. Nampaknya anda sedang menikmati Acapulco dengan baik. Anda melakukan kerja dengan hebat," kata Ruud kepada De Minaur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 4:59 PM