PANDELELA (kiri) dan Nur Dhabitah ketika acara 10m platform seirama di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha. FOTO REUTERS
PANDELELA (kiri) dan Nur Dhabitah ketika acara 10m platform seirama di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha. FOTO REUTERS
Helmi Talkah


Putrajaya: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong berdepan risiko digugurkan daripada Program Road to Gold (RTG) selepas gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pandelela terlepas tiket ke Paris 2024 dalam acara kegemarannya 10 meter (m) platform individu selepas terkandas di pusingan kelayakan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Pada aksi Ahad lalu itu, dia sekadar menduduki tempat ke-29 daripada 46 peserta.

Dia turut gagal melayakkan diri bagi acara 10m platform seirama bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-12 daripada 16 peserta.

Bagi mengesahkan tiket ke Paris 2024, penerjun perlu menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik dalam acara individu dan empat teratas bagi saingan seirama.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kedudukan Pandelela hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa RTG.

Katanya, beliau akan berbincang dengan Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam bagi memanggil mesyuarat Jawatankuasa RTG tidak lama lagi.

"Saya tidak mahu jawab itu dulu (mengenai kedudukan Pandelela dalam RTG) hari ini, saya hanya mahu fokus sesi perbincangan meja bulat hari ini. Nanti kita akan panggil sidang media khas.

"Saya akan bincang dengan Datuk Stuart untuk koordinasi mesyuarat tidak lama lagi. Nanti semua kita akan jawab dalam sidang media itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) berkaitan pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas yang berlangsung di Menara KBS, di sini, hari ini.

Pandelela sebelum ini memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik London 2012 dalam acara 10m platform individu, sekali gus menjadi atlet wanita pertama negara meraih pingat di temasya terbesar dunia itu sebelum dia meraih perak bersama gandingannya, Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama di Olimpik Rio 2016.

Setakat ini, hanya seorang atlet terjun negara iaitu Bertrand Rhodict Lises yang mengesahkan tiket ke Paris 2024 selepas berada dalam kelompok 12 terbaik ketika Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 7:19 PM