PANDELELA (kiri) dan Dhabitah ketika beraksi di Doha. FOTO REUTERS
PANDELELA (kiri) dan Dhabitah ketika beraksi di Doha. FOTO REUTERS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri sedar mereka berpotensi untuk digugurkan daripada Program Road to Gold (RTG) selepas gagal menepati ramalan layak ke Sukan Olimpik Paris Julai depan.

Menurut Pandelela dan Dhabitah, mereka akur jika digugurkan daripada program berkenaan memandangkan Program RTG sebagai persediaan untuk membantu atlet negara meraih pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris.

"Saya memang sudah tahu, RTG ini adalah satu keistimewaan tapi tak bermakna ia meletakkan atlet dalam zon selesa, anda perlu buktikan yang anda layak untuk berada dalam program itu," kata Pandelela.

Ujarnya, dia terima sahaja apa jua keputusan yang akan diputuskan dan ingin berterima kasih kepada pihak RTG yang selama ini menyokongnya.

"Program itu membantu saya, misalnya pertolongan yang dihulurkan ketika Sukan Asia Hangzhou. Cuma tuah tidak berpihak kepada saya untuk Sukan Olimpik kali ini," katanya.

Nada sama turut dilontarkan Dhabitah yang akur dengan apa jua keputusan yang bakal diputuskan Jawatankuasa RTG hujung bulan ini.

"Saya tidak kisah, seperti yang saya katakan, saya tahu saya tidak beraksi seperti mana yang saya mahukan. Saya memilih untuk menunggu sebelum membuat sebarang perancangan untuk diri saya, kerana saya sudah kecewa," kata Dhabitah.

Kem terjun negara menerima tamparan apabila kesemua penerjun negara beraksi hambar di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha minggu lalu, khususnya Pandelela yang terlepas peluang beraksi di Sukan Olimpik buat kali kelima selepas terkandas awal dalam acara 10 meter (m) plaform, selain hanya menduduki tempat ke-12 keseluruhan dalam acara 10m platform seirama bersama Dhabitah.

Dhabitah pula yang beraksi dalam kesakitan sepanjang minggu lalu gagal untuk menampilkan rutin kemas dalam acara kegemarannya 3m papan anjal apabila meraih kedudukan ke-24 dengan mengumpul 238.15 mata.

Skrip sama turut terjadi dalam acara 3m papan anjal seirama wanita apabila Dhabitah dan pasangannya, Wendy Ng hanya meraih 258.30 mata untuk berada di tempat kesembilan, sekali gus gagal mara ke pentas final.

November lalu, Jawatankuasa RTG mengugurkan skuad hoki lelaki daripada program itu selepas gagal meraih pingat emas di Sukan Asia Hangzhou serta dua beregu campuran negara, Shevon Lai-Goh Soon Huat dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mengalami penurunan mendadak dalam ranking kelayakan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 4:22 PM