AKSI Pandelela ketika di Doha. FOTO REUTERS
AKSI Pandelela ketika di Doha. FOTO REUTERS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menyifatkan dia masih belum mahu untuk bersara biarpun wujud desakan susulan kegagalannya layak ke Sukan Olimpik Paris Julai depan.

Menurut Pandelela, dia menafikan faktor umur menjadi punca kegagalannya untuk beraksi lebih baik memandangkan catatan keputusan terjunannya di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha yang berlangsung minggu lalu tidak setinggi catatan di kejohanan lain sebelum ini.

"Penerjun muda sedia ada pun masih belum dapat menyaingi saya. Cuma saya katakan, ada faktor lain yang menggangu pasukan kami ketika ini. Bagi kami, hendak bersara boleh, tetapi atlet 'junior' kena berjaya menang mengatasi kami, baru mereka ada peluang untuk lawan dengan penerjun luar negara. Saya boleh kata untuk acara saya (platform), jurangnya masih jauh," kata Pandela.

Ujarnya, jurang kualiti penerjun negara sedia ada dengan skuad remaja dan pelapis masih terlalu jauh, justeru dia masih akan memikul tanggungjawab mewakili negara sehingga Malaysia mempunyai barisan penerjun generasi baru yang lebih baik.

Ketika di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha minggu lalu, atlet berusia 30 tahun itu berputih berputih mata untuk membuat penampilan kelimanya di Sukan Olimpik setelah terkandas awal dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita, manakala gandingan bersama Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10m platform seirama berakhir di kedudukan ke-12.

Bagi mengatasi kelompongan itu, Pandelela menyarankan kem negara perlu memperkasakan semula program terjun agar Malaysia tidak terus ketinggalan di persada dunia.

"Sekarang ini saya kena tengok atlet junior dahulu, peranan saya sekarang adalah mengisi kekosongan dalam pasukan. Sebelum ini saya sudah katakan, program pembangunan kita perlu diperkuatkan.

"Ketika Sukan Malaysia (Sukma) sebelum ini pun saya sudah suarakannya dan memberi amaran, apabila acara wanita dibatalkan, tetapi macam tidak didengari sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 5:03 PM