MIKAIL (kanan) menumpaskan Tenabe 6-1 pada aksi final di Stadium Lumpinee, Bangkok. GAMBAR FB RENTAP MUAY THAI GYM
MIKAIL (kanan) menumpaskan Tenabe 6-1 pada aksi final di Stadium Lumpinee, Bangkok. GAMBAR FB RENTAP MUAY THAI GYM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Nama Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar semakin menjadi tumpuan orang ramai apabila terus cemerlang dalam muay thai dan berpeluang untuk mengikuti jejak abangnya, Muhammad Johan Ghazali.

Atlet muda negara itu melakar kejayaan memenangi pingat emas dalam kategori 42 kilogram (kg) bagi usia 14 hingga 15 tahun di WBC Amazing MuayThai World Festival di Bangkok, Thailand, Isnin lalu.

Mikail,14, mewakili Rentap Muay Thai Gym yang berpangkalan di Kuching, Sarawak, itu menumpaskan wakil Jepun, Kenshin Tenabe 6-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Lumpinee di Bangkok.

Ini adalah gelaran kedua berturut-turut buat Mikail selepas berjaya memenanginya pada edisi tahun lalu.

Selain itu, Mikail antara penyumbang pingat emas buat negara selepas memenangi empat emas dan empat gangsa pada kejohanan yang berlangsung selama empat hari itu membabitkan penyertaan 650 peserta dari 70 negara.

Tiga lagi emas disumbangkan Radhit Eadric Rioh Roy Angau dalam kategori 71kg, Wyjie Firdaus Aziz 48kg dan Adrynna Thanicha Seesombat dalam kategori perempuan bawah 36kg.

Pada Oktober lalu, abang Mikail, Johan atau lebih dikenali dengan Jojo mencipta sensasi apabila menjadi atlet tempur termuda memperoleh kontrak AS$100,000 (RM476,600) dengan ONE Championship selepas melakar empat kemenangan berturut-turut dalam pertarungan Road to ONE Championship.

Pertarungan pertamanya selepas menandatangani kontrak dengan ONE Championship menyaksikan Jojo menumbangkan juara MuayThai Antarabangsa WBC dari Mexico, Edgar Tabares dengan keputusan KO dalam tempoh hanya 36 saat (s).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 5:11 PM