REGU Besut Terengganu bergambar kenangan dengan regu Perodua Kelantan sebelum aksi final, semalam. FOTO MALIK MUHAMAD
REGU Besut Terengganu bergambar kenangan dengan regu Perodua Kelantan sebelum aksi final, semalam. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Biarpun hanya muncul naib juara Kejohanan Sepaktakraw Kebangsaan, tiga pemain kelahiran Pulau Perhentian, Besut, Terengganu tetap gembira.

Apa tidaknya, perjalanan meredah ombak dan laut bergelora dari Pulau Perhentian ke Jeti Kuala Besut selama 30 minit dan kemudian melalui perjalanan darat hampir dua jam sebelum tiba di tempat kejohanan di Dewan Olimpik, Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT), dilihat tetap berbaloi.

Tekong, Tengku Haris Tengku Hanif, 11, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian berkata, walaupun gagal muncul juara, kejayaan ke pentas final sudah cukup menggembirakannya.

"Kami tak sangka mara sehingga ke final, apatah lagi kejohanan ini bertaraf kebangsaan dan kami gembira biarpun tidak bergelar juara.

"Terima kasih kepada semua barisan kejurulatihan serta guru kerana kehadiran kami meredah lautan ternyata berbaloi," katanya.

Dua lagi pemain kelahiran Pulau Perhentian, Muhammad Yushakimi Mohd Yunus (apit kanan) dan Munif Afnan Mohd Hamdi sebagai apit kiri yang mewakili daerah Besut.

Pada aksi final Kategori Bawah 11 Tahun semalam, regu Besut yang mewakili Terengganu tewas 0-2 kepada regu Perodua dari Kelantan.

Bagi Kategori Bawah 14 Tahun, SSMT C muncul juara selepas menumpaskan Sekolah Sukan Negeri Mutiara Impian (SSMMI) dengan keputusan 2-0 manakala Kategori Bawah 16 Tahun menjadi milik regu SSMT A selepas menundukkan SSMT B, 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 9:33 PM