Pemain sepak takraw SSMT raih dua pingat emas di Thailand. FOTO IHSAN MOHD FUTRA ABD GHANI
Pemain sepak takraw SSMT raih dua pingat emas di Thailand. FOTO IHSAN MOHD FUTRA ABD GHANI
Malik Muhamad


SENTUHAN perejam berbisa negara, Mohd Futra Abd Ghani membolehkan kontinjen sepak takraw Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) meraih dua pingat emas di bumi Gajah Perang pada Kejohanan Thailand Sports School yang berakhir semalam.

Lebih menggembirakan penyertaan kali pertama SSMT dalam kejohanan berusia 22 tahun itu berbaloi sekali gus membuktikan anak didik bekas pelibas emas negara pada pentas Sukan SEA 2005 di Filipina itu mempunyai masa depan yang cerah untuk menggegar dalam sukan itu.

Pada kejohanan berlangsung di negeri Khon Kaen bermula 30 Julai lalu, SSMT meraih pingat emas dalam kategori berpasukan Bawah 14 Tahun dan regu Bawah 16 Tahun manakala bagi kategori 'double' Bawah 14 Tahun dan 'double' berpasukan Bawah 16 Tahun, SSMT meraih pingat gangsa.

Bagaimanapun, bukan mudah buat skuad bimbingan Mohd Futra mara ke final selepas diberi tentangan sengit hingga ke set penentuan pada peringkat separuh akhir oleh pasukan Nakhonsitammarat Sports School sebelum mencatat kemenangan 18-21, 21-19 dan 21-19 bagi ketegori Bawah 16 Tahun.

Pada final, SSMT bertembung dengan wakil negara iaitu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor sebelum meraih pingat emas dengan kemenangan 21-17 dan 21-19.

Bagi kategori Bawah 14 Tahun, SSMT menang bergaya 2-0 menundukkan juara bertahan, Chonburi Sports School pada peringkat separuh akhir.

Mereka memastikan kilauan emas selepas menumpaskan satu lagi wakil tuan rumah, Nakhon Phatom Sports School juga dengan 2-0 menerusi kemenangan 21-11 dan 21-7 regu pertama manakala regu kedua menang 21-17, 20-22 dan 21-17.

"Alhamdulillah, misi kali ini membawa cabaran SSMT di bumi Khon Kaen, Thailand berhasil biarpun kali pertama menyertainya.

"Sokongan padu daripada pengetua, Huszaidi Hussin dan penaja, Senergy Tech selain sokongan ibu bapa atlet serta peminat sepak takraw yang mendoakan kejayaan yang begitu bermakna ini.

"Saya akui laluan sukar buat pemain pada setiap perlawanan sehingga ke final tetapi mereka buktikan yang terbaik," ujar Mohd Futra.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 5:24 PM