ZVEREV bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menang ke atas Alcaraz. -FOTO AFP
ZVEREV bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menang ke atas Alcaraz. -FOTO AFP
AFP

Turin, Itali: Alexander Zverev bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Carlos Alcaraz 6-7 (3/7), 6-3, 6-4 di ATP Finals ketika Daniil Medvedev memenangi perlawanan derby Russia menentang Andrey Rublev 6-4 , 6-2.

Zverev dari Jerman, pemenang dua kali pada kejohanan akhir tahun itu mempamerkan aksi luar biasa untuk menewaskan pemain nombor dua dunia Alcaraz yang tidak berada dalam prestasi terbaik selepas kembali daripada kecederaan pada akhir bulan lalu.

Zverev adalah lawan yang sukar di gelanggang keras seperti yang berlaku di Pala Alpitour di Turin, menggunakan kelebihan ketinggian dan kuasanya dalam pertembungan Kumpulan Merah untuk menewaskan Alcaraz yang menjadi saingan utama Novak Djokovic untuk merebut gelaran.

Zverev yang berusia 26 tahun mencatatkan 16 ace dan hanya dipatahkan sekali sepanjang kemenangan yang mengagumkan di mana dia menguasai perlawanan.

"Pada awal tahun ini, saya tidak berada di tahap yang sama seperti hari ini," kata Zverev.

"Saya gembira dapat kembali ke tahap di mana saya boleh memberi saingan kepada mereka, di mana saya rasa saya boleh menang, saya rasa saya boleh bersaing untuk kejohanan ini lagi."

Juara Wimbledon, Alcaraz bergelut dengan masalah kecederaan bawah belakang badan dan kaki kiri yang menghalangnya daripada beraksi sejak Masters Shanghai pada awal Oktober sehingga Masters Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 10:52 AM