LIM Hui Ying (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada atlet Sabah. FOTO MOHD AMIN JALIL
LIM Hui Ying (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada atlet Sabah. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Gagal mempertahankan kejuaraan tidak membuatkan kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Sabah merasa kecewa sebaliknya tetap bangga dengan pencapaian atlet sepanjang Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Kebangsaan Kali Ke-63.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, berakhir petang semalam itu, meletakkan Sabah di tempat kedua keseluruhan selepas mengumpul 44 pingat iaitu 12 emas, 17 perak dan 15 gangsa.

Mereka ketinggalan tiga pingat emas kepada kontinjen MSS Johor yang muncul juara selepas meraih 15 emas, sembilan perak dan 10 gangsa.

Kontinjen MSS Selangor pula menduduki tempat ketiga dengan 11 emas, 20 perak dan sembilan gangsa.

Pengerusi Teknik Pembangunaan Sukan MSS Sabah, Lazurus Lajiun berkata, pihaknya berpuas hati dengan komitmen dan pencapaian atlet muda negeri itu, walaupun gagal mempertahankan kejuaraan.

Menurutnya, beliau sudah menjangkakan dari awal akan berdepan tentangan sengit daripada Johor dan Selangor, namun disebabkan ada atlet yang cedera ketika bertanding menyebabkan mereka terlepas pingat emas kepada pihak lawan.

"Kami terlepas tiga pingat emas dalam acara lompat jauh, lompat kijang dan 100m lelaki B-18 kerana atlet tidak cukup cergas.

"Namun, saya tetap bangga dengan pencapaian atlet dan kami akan terus bekerja keras untuk menebus kegagalan ini pada kejohanan tahun depan," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengerusi Teknik Pembangunaan Sukan MSS Johor, Mohammad Faiz Salleh, berkata walaupun muncul juara baharu, namun dari segi pungutan pingat emas adalah sama dengan tahun lalu iaitu 15 emas.

"Apa yang membanggakan atlet kita berjaya cipta rekod baharu ASG (Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN) dalam acara 110m lari berpagar, rekod kejohanan 400m lari berpagar dan 4x100m lelaki B-18.

"Kami akan cuba untuk pertahankan prestasi ini pada kejohanan sama di Ipoh tahun depan dan akan buat persiapan awal bermula Disember nanti untuk mencapai sasaran itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 2:05 PM