SIVASANGARI (kanan) meraikan kejayaan memenangi emas bersama rakan sepasukannya. FOTO ASYRAF HAMZAH
SIVASANGARI (kanan) meraikan kejayaan memenangi emas bersama rakan sepasukannya. FOTO ASYRAF HAMZAH
Fabian Peter


Hangzhou: Memenangi emas di Sukan Asia Hangzhou selepas mengharungi segala kesukaran, cukup bermakna untuk pemain skuasy negara, S Sivasangari.

Pemain berusia 24 tahun itu memberi inspirasi kepada rakan sepasukannya iaitu Rachel Arnold, Aifa Azman, dan Aira Azman untuk bangkit semula, ketika mereka mengalahkan Hong Kong 2-1 dalam aksi final acara berpasukan wanita di Pusat Skuasy HOC, hari ini.

Ia adalah pingat emas ketiga Malaysia pada di Sukan Asia setakat ini.

Bercakap kepada media, Sivasangari berkata dia bersyukur kerana masih dapat beraksi di peringkat tertinggi selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya yang agak ngeri tahun lalu.

"Setiap orang mempunyai kesukaran dan cabaran masing-masing, untuk saya adalah kembali selepas terbabit kemalangan.

"Setahun yang lalu, saya tidak menyangka yang saya akan berada di sini. Beraksi di Sukan Asia bersama rakan sepasukan adalah perkara yang amat saya syukuri," kata anak kelahiran Kedah itu, yang baru kembali beraksi pada Februari lalu.

Terdahulu, Malaysia ketinggalan 1-0, selepas Rachel Arnold tewas 7-11, 11-7, 8-11, 11-8, 11-6 kepada Tong Tsz Wing.

Sivasangari, anggota pasukan yang memenangi gangsa pada Sukan Jakarta-Palembang 2018, kemudian menyamakan kedudukan apabila mudah menewaskan Ho Tze Lok 11-5, 11-8, 11-6.

Aifa Azman memastikan pingat emas untuk Malaysia selepas menewaskan Chan Sin Yuk 11-5, 11-8, 11-13, 11-8.

"Saya sangat bangga dengan prestasi rakan sepasukan. Sudah tentu ada rasa berdebar untuk menyamakan kedudukan.

"Saya gembira dapat menyumbang satu mata dan menyamakan kedudukan. Bangga dengan rakan sepasukan saya, kami adalah pasukan yang kuat," tambah Sivasangari.

Barisan pemain negara akan meneruskan cabaran untuk meraih pingat menerusi acara individu bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 5:06 PM