PETA laluan perlumbaan LTdL membabitkan penutupan jalan pada 30 September (kiri) dan 27 September.  FOTO JSPT Selangor.
PETA laluan perlumbaan LTdL membabitkan penutupan jalan pada 30 September (kiri) dan 27 September. FOTO JSPT Selangor.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jalan di beberapa daerah di Selangor membabitkan Hulu Selangor, Gombak, Shah Alam, Klang Utara, Kuala Selangor, Sungai Buloh dan Ampang akan ditutup berikutan kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.

Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, LTDL 2023 yang bermula kelmarin sehingga 30 September itu akan melalui beberapa laluan di Selangor pada peringkat lima dan lapan.

"Penutupan jalan dan lencongan secara berperingkat bagi semua jenis kenderaan akan dilaksanakan oleh JSPT Selangor.

"Penutupan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengawal kelancaran lalu lintas serta keselamatan di lokasi berkenaan.

"Pada peringkat kelima perlumbaan, laluan Selangor membabitkan jarak sejauh 87.5 kilometer (km) bermula di Behrang Station dan melalui Proton City, Kampung Kerliang, Kerling, Rasa, Kuala Kubu Bharu, Batang Kali, Serendah, Rawang bypass, Jalan Batu Caves (MRR2), Jalan Gombak Lama dan Genting Sempah.

"Peringkat kelima pada Rabu ini, lokasi pelepasan adalah di Slim River, Perak–Genting Highlands jam 10 pagi," demikian satu kenyataan menerusi Facebook rasmi JSPT Selangor, hari ini.

Sementara itu, bagi peringkat kelapan pada 30 September, laluan Selangor membabitkan jarak sejauh 152.2km bermula di Setia Alam Convention Centre–KLCC, Kuala Lumpur, pada jam 12 tengah hari.

"Ia akan melalui Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, Jalan Bukit Cerakah, Meru, Kapar, Jeram, Sg Buloh, Assam Jawa, Kuala Selangor, Jalan Bukit Belimbing, Jalan Raja Musa, Jalan Rawang, Jalan Bukit Badong, Bestari Jaya, Kampung Sungai Perlong, Paya Jaras, Jalan Kuala Selangor, MRR2 dan Jalan Ampang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 12:31 PM