KALI terakhir LTdL dianjurkan pada 2020. FOTO Luqman Hakim Zubir
KALI terakhir LTdL dianjurkan pada 2020. FOTO Luqman Hakim Zubir
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 akan berlangsung pada 11 hingga 18 Oktober depan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, itu adalah tarikh yang ditentukan sendiri oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan dimaklumkan kepada pihaknya kira-kira tiga minggu lalu.

"Kami dimaklumkan oleh UCI tarikh yang diberikan adalah pada 11 hingga 18 Oktober. UCI memberikan tarikh itu kerana ia masa yang paling sesuai sebab tak bertindih dengan kejohanan lain," katanya ketika dihubungi sambil mengesahkan tarikh itu sudah ada di dalam kalendar UCI.

Ditanya pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Mac lalu bahawa perlumbaan berprestij itu akan berlangsung dari 11 hingga 18 Jun ini, Abu Samah berkata hanya UCI yang boleh menetapkan tarikh sesuai untuk penganjuran perlumbaan itu.

"Ketetapan UCI ialah mereka tidak boleh memberikan tarikh itu (11 hingga 18 Jun). Kita boleh memilih tarikh tetapi akhirnya yang menentukannya adalah UCI.

"Sekarang kita sudah dapat tarikh itu (11 hingga 18 Oktober) dan bermakna ia akan dilangsungkan ketika itu," katanya.

Ahmad Faizal pada Majlis Pengenalan Laluan Le Tour de Langkawi Mac lalu mengumumkan perlumbaan itu akan berlangsung dari 11 hingga 18 Jun dan pihaknya ketika itu menegaskan akan berusaha untuk memastikan LTdL tetap dilangsungkan mengikut jadual.

Terdahulu, perlumbaan itu sepatutnya berlangsung dari 3 hingga 10 Mac namun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerima permohonan rasmi daripada syarikat penganjur, Human Voyage Sdn Bhd untuk menunda kejohanan itu berdasarkan kepada beberapa justifikasi.

Antaranya termasuklah peningkatan kes Covid-19 yang mendadak dan membimbangkan melibatkan penularan varian Omicron di seluruh dunia ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 10:00 PM