Richards meraikan kejayaan muncul juara dunia 200m gaya bebas. FOTO AFP
Richards meraikan kejayaan muncul juara dunia 200m gaya bebas. FOTO AFP
AFP

Fukuoka: Perenang Britain, Matthew Richards memenangi acara 200 meter (m) gaya bebas di Kejohanan Renang Dunia mengetepikan perenang pilihan, David Popovici.

Richards muncul juara dengan mencatat masa 1 minit 44.30 saat (s) mengatasi rakan senegara, Tom Dean (1:44.32s) dan perenang Korea Selatan, Hwang Sun-woo di tempat ketiga (1:44.42s).

Popovici dari Romania, yang juga penyandang juara meraih tempat keempat dengan catatan 1:44.90s.

Dia mendahului dari mula dan dilihat mampu mempertahankan kejuaraan.

Bagaimanapun, dia semakin perlahan ketika 50 meter terakhir membolehkan pesaingnya mengejar dan Richards mengambil kesempatan untuk meraih emas.

"Ia perlumbaan yang sangat tak masuk akal. Kami sedar ia akan menjadi medan perlumbaan 200m gaya bebas yang sengit," kata Richards.

Sementara itu, perenang Amerika Syarikat (AS), Katie Ledecky merangkul gelaran renang dunia ke-20 pada Selasa selepas memenangi acara 1,500m gaya bebas wanita.

Katie mencatat masa 15:26.27s untuk menamatkan saingan di hadapan perenang Itali, Simona Quadarella (15:43.31s) dan Li Bingjie dari China (15:45.71s).

"Saya berasa sangat baik ia menyakitkan tetapi saya sangat gembira dengan hasilnya," kata Katie.

Seorang lagi perenang AS, Ryan Murphy memenangi gelaran 100m kuak lentang lelaki.

Murphy menamatkan renangan dengan catatan masa 52.22s untuk menewaskan juara bertahan dari Itali, Thomas Ceccon (52.27s) dan rakan senegara, Hunter Armstrong (52.58s).

Perenang Australia, Kaylee McKeown memenangi gelaran 100m kuak lentang wanita.

Kaylee mencatat masa 57.53s untuk menewaskan dua perenang AS, Regan Smith (57.78s) dan Katharine Berkoff (58.25s).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 8:51 PM