NIK Safuan Ismade dilantik KRM sebagai jurulatih baharu skuad ragbi 7 sebelah negara. FOTO KRM
NIK Safuan Ismade dilantik KRM sebagai jurulatih baharu skuad ragbi 7 sebelah negara. FOTO KRM
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad ragbi lelaki 7 sebelah (7s) negara menerima suntikan semangat menjelang persiapan untuk temasya Sukan Asia Hangzhou selepas Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengumumkan pelantikan Nik Safuan Ismade Nik Man sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu.

Nik Safuan Ismade, 42, adalah bekas pemain ragbi kebangsaan bermula 2003-2011 sebelum memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih pasukan lelaki 15s bawah 23 tahun pada 2012 di Kejohanan Causeway Challenge Shield dan penolong jurulatih pasukan 7s lelaki bagi Kejohanan HBSC 7s Series pada 2013 serta 2014.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai ketua jurulatih lelaki 7s bagi tahun 2015-2016 dan membimbing pasukan wanita 7s kebangsaan bermula 2016-2021.

"Sebagai bekas pengendali pasukan kebangsaan, antara kejayaan yang dikecapi oleh beliau sebagai ketua jurulatih sebelum ini adalah membawa pulang pingat perak Sukan Sea 2015 bersama pasukan lelaki, pingat gangsa Sukan Sea 2017 dan 2019 bagi pasukan wanita serta Kejuaraan Trofi Wanita Asia 2018.

"Pemilihan Nik Safuan dibuat selepas Mesyuarat Exco KRM bersama bahagian kejurulatihan dan prestasi tinggi KRM mengadakan perbincangan serta penilaian menyeluruh dan sudah memutuskan Nik Safuan adalah calon terbaik untuk mengendalikan pasukan Bunga Raya 7s," kata KRM dalam satu kenyataan.

KRM turut memaklumkan pemilihan Nik Safuan adalah berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai jurulatih di peringkat kelab dan kebangsaan serta mempunyai sijil kelayakan yang diiktiraf oleh badan induk Ragbi Dunia dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Beliau akan memulakan khidmatnya sebagai ketua jurulatih kebangsaan untuk persiapan dan persediaan Bunga Raya 7s menghadapi temasya Sukan AsiaHangzhou, China 2023 bertempat di MSN.

"KRM mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau untuk terus memperkasakan pasukan ragbi kebangsaan di peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 11:51 AM