AZIZULHASNI sebelum ini melahirkan rasa kecewa terhadap MSN atas kegagalan menyediakan sistem sokongan lengkap. FOTO AZRUL EDHAM
AZIZULHASNI sebelum ini melahirkan rasa kecewa terhadap MSN atas kegagalan menyediakan sistem sokongan lengkap. FOTO AZRUL EDHAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan hampir semua permintaan jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang mampu direalisasikan dalam usaha merealisasikan impian membawa pulang emas pertama untuk Malaysia di pentas Olimpik.

Setiausaha Agung MOM Datuk Nazifuddin Najib berkata, pihkanya bersedia membantu pelumba yang lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu dalam persiapan menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Menerusi pertemuan bersama pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu baru-baru ini, Nazifuddin memaklumkan Azizulhasni memerlukan sokongan terutama daripada aspek sains sukan bagi memaksimumkan prestasinya.

"Kita bersama Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin membincangkan mengenai Azizul kerana dia mempunyai harapan besar di Paris kelak.

"Apa yang dibangkitkan beliau, kami cuba bantu daripada segi ISN (Institut Sukan Negara). Kali ini kami beri tumpuan penuh kepada Datuk Azizul dengan harapan dia akan membawa pingat yang tertinggi, iaitu kami harap emas.

"Tapi kami tidak mahu menekannya, kami akan beri sokongan penuh dan yang penting dia di tahap terbaik untuk Paris. Kebanyakan isu (yang kami bantu) adalah sokongan sampingan daripada segi perkhidmatan ISN," katanya.

Terdahulu, Azizulhasni yang mesra disapa Jijoe ini melahirkan rasa kecewa terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) atas kegagalan menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, sejak awal tahun ini.

Berikutan itu, Jawatankuasa Road To Gold (RTG) mengambil langkah drastik dengan 'meluluskan' permintaan pelumba negara sebelum ini.

Situasi terbabit disahkan Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam yang menjelaskan pihaknya menunaikan permohonan Azizulhasni bagi memastikan prospek pingat di Sukan Olimpik 2024 itu mendapat segala apa yang diperlukan untuk beraksi di tahap tertinggi.

Malah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memberi jaminan untuk terus beri sokongan berterusan buat pelumba negara serta barisan atlet Program RTG dalam misi memburu emas pertama Malaysia dalam temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 12:37 PM