SARAH ketika beraksi di temasya Sukan Sea Kemboja. -FOTO Bernama
SARAH ketika beraksi di temasya Sukan Sea Kemboja. -FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet lompat bergalah negara Nor Sarah Adi dijangka mampu berada pada tahap terbaik dengan memecah rekod kebangsaan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Keyakinan itu disuarakan jurulatih lompat bergalah negara Roslinda Samsu yang melihat kerjaya keras yang dilakukan anak buahnya ketika ini mampu memadam rekod kebangsaan yang diciptanya sebelum ini.

Rekod kebangsaan masih dipegang Roslinda dengan catatan 4.40 meter (m) yang dilakukan di Sepanyol pada 2007.

Catatan peribadi terbaik Nur Sarah pula adalah 4.05m yang dilakukan ketika memenangi pingat perak di Sukan Sea Kemboja, bulan lalu.

Roslinda berkata, berdasarkan catatan masa 11.9 saat (s) dimiliki Nur Sarah dalam acara 100m, dia berpotensi untuk melakukan lompatan melebihi 4.40m.

"Kalau ikut statistik dan pengiraan yang kami lakukan, kelajuan dia 11.9s itu memang boleh lompat 4.40m namun ia perlulah dilakukan dengan teknik yang betul dan peringkat demi peringkat.

"Jika dia terus bekerja keras, tidak mustahil dia akan memecahkan rekod kebangsaan, mungkin dalam tempoh dua tahun lagi," kata Roslinda yang juga pemenang pingat emas Sukan Sea sebanyak empat kali bermula 2005 hingga 2011.

Roslinda, berkata Nur Sarah ketika ini sedang dalam persiapan bagi menghadapi Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China bulan depan.

Katanya, temasya itu dianggap medan pemanas badan sebelum Nur Sarah beraksi di Sukan Asia Hangzhou pada September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 2:41 PM