AZMI ketika menjadi CDM Sukan Sea Vietnam. -FOTO NSTP
AZMI ketika menjadi CDM Sukan Sea Vietnam. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap mempertahankan keputusan menghantar atlet pembangunan ke Sukan Sea Kemboja adalah tindakan yang tepat, Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad mempunyai pandangannya yang tersendiri.

Menurut bekas Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Sea Vietnam 2021 itu, ia memang bagus untuk menghantar atlet pembangunan atau pelapis ke temasya berkenaan namun orang awam mendesak mahukan keputusan cemerlang.

"Kalau hendak menghantar atlet pembangunan, badan sukan harus fokus lebih awal, jangan tunggu saat akhir untuk mensasarkan mereka," katanya.

Ujar, Nur Azmi selepas berakhir temasya di Vietnam tahun lalu bedah siasat yang mereka lakukan ialah perlu menggunakan cara seperti sebelum ini.

"Kembali kepada cara seperti sebelum ini, atlet pelapis fokus kepada pembangunan, atlet senior fokus kepada senior. Pendedahan atlet pembangunan harus diketengahkan di kejohanan peringkat Asia Tenggara. Biar ketika pertandingan itu mereka sudah mengenali lawan yang bakal ditentang di Sukan Sea nanti.

"Sukar untuk menjelaskan kepada orang awam, kerana mereka mahukan keputusan. Mereka tidak mahu 'drama' dalam kejohanan. Biar atlet muda ini diuji lebih awal, kalau hendak diuji di dalam Sukan Malaysia (Sukma) dengan menaikkan taraf temasysa itu menjadi 'mini' Sukan Sea," katanya.

Tambah Nur Azmi, beliau tidak nampak persatuan sukan tidak mempunyai sasaran tetapi mungkin sedikit tertekan apabila Majlis Sukan Negara (MSN) dan KBS meletakkan penanda aras.

"Buat masa sekarang tidak perlu tuding jari, fokus kepada Sukan Sea Thailand 2025, jika tidak keadaan akan sama sahaja. Fokus kepada sukan yang mampu meraih lebih banyak pingat.

"Lupakan apa yang sudah berlalu, selepas ini struktur perlu kuat untuk menghadapi Sukan Sea Thailand dan di laman sendiri pada 2027," katanya.

Semalam Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tetap menganggap ada perkara positif yang dicatatkan selepas berakhirnya Sukan Sea Kemboja walaupun kontinjen negara gagal mencapai sasaran pingat emas terutama dengan penyertaan 63 peratus atlet muda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 1:54 PM