DJOKOVIC menewaskan Norrie dalam saingan 16 terbaik. -FOTO Reuters
DJOKOVIC menewaskan Norrie dalam saingan 16 terbaik. -FOTO Reuters
AFP

Rom: Novak Djokovic tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir Terbuka Itali selepas menundukkan Cameron Norrie.

Ketika Djokovic menewaskan Norrie 6-3, 6-4, juara Monte Carlo Masters Andrey Rublev dan pemain harapan tuan rumah Jannik Sinner tersingkir di Rom.

Djokovic berjaya mara ke peringkat lapan terakhir sepanjang 16 penampilannya sebelum ini di ibu negara Itali itu dan melakukannya sekali lagi apabila mengatasi Norrie untuk menempah pertembungan menentang Holger Rune di kejohanan yang menjadi medan memanaskan badan sebelum Terbuka Perancis.

Ia akan menjadi perlawanan ulangan final Masters Paris tahun lalu, apabila pemain Denmark berusia 20 tahun itu memenangi gelaran Masters 1000 pertamanya selepas menewaskan Djokovic dalam perlawanan yang mendebarkan.

"Walaupun dia masih muda, saya tahu corak permainannya dengan baik. Dia bermain dengan baik dalam siri jelajah sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya dalam tempoh enam hingga lapan bulan yang lalu," kata Djokovic.

"Dia berada dalam prestasi yang sangat baik dan saya menantikan cabaran. Saya fikir ia akan menjadi perlawanan yang sangat sengit."

Djokovic sedang memburu gelaran ketujuh di tanah liat di Rom dan peluangnya kini sedikit lebih mudah dengan penyingkiran mengejut Carlos Alcaraz Isnin lalu.

Alcaraz memenangi dua kejohanan berturut-turut di Barcelona dan Madrid, akan mengambil alih kedudukan nombor satu dunia daripada Djokovic pada 22 Mei tetapi juara Grand Slam 22 kali itu boleh membawa bekalan terbaik ke Roland Garros dengan satu lagi gelaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 9:21 AM