PESERTA bergambar kenangan selepas tamat kejohanan.
PESERTA bergambar kenangan selepas tamat kejohanan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Siri Jelajah Golf Mena yang berlangsung di Desaru Coast, Johor Baharu baru-baru ini memberi impak positif selepas berjaya menarik penyertaan pemain golf profesional dan amatur terbaik dari seluruh dunia.

Kejohanan yang diiktiraf oleh ranking golf dunia itu bertujuan membangunkan dan mempromosikan sukan itu di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (Mena).

Ia penganjuran kali pertama Jelajah Mena di Malaysia menerusi kerjasama Persatuan Pelancongan Golf Johor (JGTA) dan The Els Club Desaru Coast serta disokong oleh Pelancongan Malaysia.

Presiden JGTA, Kol Mohd Jamal Salleh gembira dengan sambutan hangat yang diterima apabila mendapat sambutan positif daripada komuniti golf antarabangsa.

Mohd Jamal berkata, kerjasama antara semua pihak memainkan peranan penting dalam menjayakan siri jelajah Mena Swings dengan JGTA bersedia menyediakan pentas dan menjalin kerjasama erat di masa depan untuk mempromosikan pelancongan golf di rantau ini.

Kejohanan yang berlangsung enam hari itu menyaksikan Joe Heraty dari England muncul juara Swing I manakala Aron Zemmer (Itali) di tempat kedua dan wakil negara Paul San menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Aksi di Swing II dijuarai William Harold juga dari England dan wakil negara Ervin Chang dan Paul San masing-masing menamatkan saingan di kedudukan kedua dan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 6:38 PM