PESERTA kejohanan bergambar kenangan. FOTO FB The Els Club Desaru Coast
PESERTA kejohanan bergambar kenangan. FOTO FB The Els Club Desaru Coast
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: The Els Club Desaru Coast – Ocean and Valley sekali lagi menjadi tuan rumah Kejohanan Golf Pelancongan Johor edisi kelima bagi merebut Trofi Cabaran Tunku Panglima Johor membabitkan 160 pemain golf tempatan dan antarabangsa.

Shahreel Iqubal Dom Am dinobatkan juara keseluruhan sekali gus menjulang Trofi Cabaran Tunku Panglima Johor manakala Muhammad Hanif Abu Bakar muncul juara keseluruhan (Nett).

Presiden Persatuan Pelancongan Golf Johor (JGTA) Kol Mohd Jamel Salleh berkata, penganjuran kali ini mendapat sokongan penuh penaung diraja JGTA Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

"Kami dengan rendah hati merakamkan penghargaan di atas sokongan semua pihak yang berterusan memberi sokongan terhadap kejohanan ini sehingga menjadi antara kejohanan sentiasa dinantikan.

"Jumlah penyertaan semakin meningkat naik dari tahun ke setahun juga memberi petanda positif sejak mula dianjurkan pada 2017," katanya.

Pertandingan berlangsung selama dua hari pada 3 dan 4 Disember lalu turut membabitkan penyertaan daripada pemain luar seperti dari Britain, Belgium, Jepun, Korea dan Indonesia yang mana peserta beraksi dalam saingan 36 lubang.

Saingan turut membabitkan kategori wanita yang turut mendapat penyertaan peserta luar negara Amerika Syarikat, United Kingdom, Belanda, Perancis, Australia, Afrika Selatan dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 4:32 PM